Sunday 10 September 2017

58 Mangsa Banjir Nibong Tebal Masih Di Pusat Pemindahan Sementara


NIBONG TEBAL,10 Sept - Sejumlah 58 mangsa banjir di Sungai Bakap dan Nibong Tebal, di sini masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Jawi dan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana banjir di kawasan rumah mereka masih belum surut.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Seberang Perai Selatan, Mohd Noor Ahmad berkata sehingga pukul 6.30 petang hari ini, semua mangsa daripada 15 keluarga masih belum dibenarkan pulang berikutan keadaan kediaman mereka yang masih ditenggelami air.

"Semalam seramai 79 orang daripada 20 keluarga di dua kawasan itu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air lewat petang hingga pukul 3 pagi.

Namun ada di antara mangsa yang telah pulang ke rumah masing-masing kerana air telah surut cuma tinggal 38 orang dewasa dan 20 kanak-kanak termasuk seorang bayi masih ditempatkan di Dewan Serbaguna Jawi," katanya di sini hari ini.

Banjir itu melanda beberapa kawasan di situ antaranya Kampung Wellesley, Kampung Lima , Kampung Sethu serta beberapa kampung berhampiran manakala jalan utama yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan Relau, Kedah terputus hubungan selepas hujan lebat lebih lima jam sejak pukul 4 petang semalam. - Bernama

0 comments:

Post a Comment