Sunday 10 September 2017

79 Mangsa Banjir Di Nibong Tebal Dipindah Ke Pusat Pemindahan


NIBONG TEBAL, 10 Sept - Seramai 79 mangsa banjir di kawasan Sungai Bakap dan Nibong Tebal di sini, ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Serbaguna Jawi sejak Sabtu malam.

Mereka terdiri daripada 20 keluarga antaranya dari kampung Sungai Baung, Lima, Sethu, Titi Hitam, Pengkalan, Masjid Baru, Permatang Ara, Pulau, Taman Sungai Duri Permai dan Taman Sungai Duri Indah.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang berkata semua penduduk yang dipindahkan terdiri daripada 54 orang dewasa serta 25 kanak-kanak dan rumah mereka dinaiki air hingga hampir dua meter.

"Semua mereka mula dipindahkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang menggunakan bot sejak 8 malam tadi hingga 2 pagi ini," katanya di sini hari ini.

Katanya sehingga pukul 12 tengah hari ini seramai 58 penduduk daripada 15 keluarga masih ditempatkan di Dewan Serbaguna Jawi manakala yang lain telah mula pulang ke rumah masing-masing kerana air semakin surut.

Sementara itu, Komander operasi JBPM Pulau Pinang Ku Mohd Yazid Ku Abdullah berkata pihaknya menggunakan tiga buah bot untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara.

"Beberapa jalan di kawasan terlibat banjir telah terputus hubungan semalam berikutan air semakin meningkat kerana hujan lebat sejak petang semalam. Kami membuat pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan selamat.

"Air semakin surut sejak pukul 8 pagi ini dan beberapa jalan telah dibuka semula hari ini," katanya.

Tinjuan Bernama di kawasan banjir hari ini mendapati penduduk telah mula pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman mereka selepas air banjir mula surut.

Seorang penduduk, Mohd Nor Rejab, 71, dari Kampung Baung berkata air naik terlalu pantas malam tadi sehingga keluarganya terpaksa naik ke tingkat atas rumah sementara menunggu pihak bomba datang menyelamat.

"Hujan dari pukul 4 petang lagi hingga 6.30 petang semalam, waktu itu air dah naik kemudian surut...tapi bila hujan semula dalam pukul 8 malam, air naik makin banyak...saya, anak dan menantu serta cucu tidak sempat selamatkan apa-apa.

"Kami hanya fikir nak selamatkan diri kerana air banjir yang masuk rumah tu deras sungguh macam tsunami, nasib baik bomba selamatkan kami, " katanya.

Suriani Hassan, 54, pula berkata beliau sekeluarga baru selesai mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya dan sedang mengemas rumah ketika banjir melanda kawasan kampungnya.

Katanya walaupun tidak sempat menyelamatkan barang dan kenderaan, beliau bersyukur kerana mereka sekeluarga sempat keluar dari kawasan banjir dengan selamat.

"Masa hujan lebat itu kenduri masih berlangsung dan selesai sahaja majlis air mula naik dan masuk ke dalam rumah. Banjir kali ini luar biasa saya tengok air laju macam ombak besar, " katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment