Friday, 8 September 2017

Aman Malaysia Sedia Gerakkan Misi Kemanusiaan Ke Kawasan Konflik Etnik Rohingya Di Myanmar #tearsofRohingya


KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pengerusi Aman Malaysia, Datuk Hazali Abu Hassan hari ini menyambut baik tindakan segera Koordinator Residen PBB di Malaysia Stefan Priesner yang telah memberikan jaminan akan segera menyampaikan memorandum Pemuda BN hari ini ke Ibu Pejabat PBB di New York, dalam mencari penyelesaian terbaik dalam krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.

Tambahnya, Stefan Priesner memuji sikap Malaysia yang terus memberikan desakan kepada badan-badan dunia untuk bertindak, menyelesai masalah yang melanda etnik Rohingya di Myanmar dengan segera.

“Semalam Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy ada juga mencadangkan kalau ada kemungkinan jika ada ruang dan peluang untuk Pemuda UMNO melalui NGO Aman Malaysia, untuk memikirkan satu misi kemanusiaan, jika perlu dan aspek yang perlu kita fikir dan ambil untuk memasuki terus ke kawasan konflik ataupun melalui Bangladesh dan sebagainya dalam pembelaan isu ini,” ujarnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Terdahulu, Pemuda BN bersama persatuan belia dan Gabungan NGO hari ini telah menghantar memorandum kepada Encik Stephan, Resident Coordinator Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei bagi menggesa mencari penyelesaian terbaik dalam krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.

Delegasi tersebut diketuai Timbalan Pengerusinya, YB Senator Khairul Azwan Harun menuntut sidang tergempar mengenai krisis kemanusiaan dan penempatan pasukan pengaman di Rakhine.

Menurutnya, memorandum itu turut menyentuh bantuan kemanusiaan berterusan di Rakhine dan penyelesaian isu berkenaan.



0 comments:

Post a comment