WASHINGTON DC, 14 Sept – Tanggapan kononnya Malaysia membazir dana, terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional, di luar negara adalah tidak betul, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata ada pihak yang cuba memesongkan fakta seolah-olah Malaysia menyumbang dana kepada Amerika Syarikat tanpa mendapat pulangan.
“Saya nak jelaskan, kerana orang yang ‘spinning’ seolah-olah kita pula nak ‘contribute’ dan tidak dapat apa-apa ‘in return’… (itu) tak betul.
“Sebab (contohnya) kita beli pesawat Boeing kerana kita nak jadikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan yang kompetitif. Bila orang lain ada (pesawat) Dreamliner, kita pun kena ada,” katanya.
Najib bercakap kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari di sini Rabu, dengan fokus lawatan ialah pertemuan beliau dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada Selasa.
Menurut perdana menteri, langkah seperti itu adalah untuk melaksanakan transformasi terhadap syarikat penerbangan nasional itu.
Kata Najib, begitu juga apabila KWSP melabur di Amerika, mereka akan mendapat pulangan yang besar dan memberi dividen kepada pekerja di Malaysia.
“Justeru, ia bukan satu hala, mereka pesongkannya seolah-olah saya datang sini nak membeli pengaruh Amerika Syarikat. Ini satu lagi pemesongan yang sangat negatif yang tak betul sama sekali,” katanya.
Najib berkata tujuan Malaysia melabur dalam syarikat-syarikat teknologi tinggi adalah supaya syarikat tersebut kelak menjadi milik Malaysia.
Melalui cara itulah, katanya, Malaysia akan mendapat lebih pendapatan pada masa akan datang.
Menurut Najib, Malaysia kini sudah menjadi negara pengeksport modal dan keadaannya adalah sama apabila Amerika Syarikat membuat pelaburan di Malaysia.
“Hakikat bahawa kita kini sudah menjadi pengeksport modal menunjukkan Malaysia merupakan negara yang berjaya,” katanya.
Menjelang lawatan tersebut, beberapa media, termasuk di Amerika Syarikat, cuba memberi publisiti buruk terhadap Najib dengan mengaitkan beliau dengan siasatan terhadap 1MDB.
Sebaliknya, menurut Najib, lawatannya berjalan lancar, lebih-lebih lagi sambutan mesra oleh Presiden Trump dan barisan penasihat kanannya.
“Dengan sambutan yang cukup baik oleh Presiden Trump, segalanya (tuduhan) meleset sama sekali dan tidak ada asas untuk diterima oleh rakyat Malaysia,” katanya.
0 comments:
Post a Comment