JELUTONG, 20 Sept – Selama ini Dap begitu lantang menuduh kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) gagal menjadi pentadbir yang baik malah segala yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan seringkali dihentam, namun akhirnya apabila sudah tersepit, kepada kerajaan persekutuan jugalah mereka cari bagi memohon bantuan.
Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Dap sering menggambarkan mereka adalah yang terbaik bukan sahaja di dalam menjaga kebajikan rakyat namun dalam bentuk pentadbiran juga tetapi sayangnya mengapa apabila timbul isu banjir, mereka gagal membuktikan sikap ‘terbaik’ itu.
“Jika mereka jauh lebih baik daripada BN seperti yang sering digambarkan, mengapa mereka gagal menyelesaikan isu banjir ini dan lebih pelik lagi mereka memohon kerjasama kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah banjir.
“Dap memohon dana daripada kerajaan persekutuan ibarat kerajaan negeri tidak mempunyai wang yang cukup untuk tebatan banjir tetapi apa yang menghairankan mereka ada pula wang untuk membiayai kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut dan beberapa lagi projek yang dianggap membazir.
“Adakah masa hadapan rakyat ini tidak penting untuk mereka dan hanya menjadi tangungjawab kerajaan pusat? Mungkin kerana kepentingan rakyat tidak mendatangkan keuntungan untuk mereka maka apa jadipun mereka tidak akan peduli,” ujarnya.
Tambah Razak, Dap tidak seharusnya membebankan kerajaan persekutuan dengan masalah mereka kerana punca banjir adalah daripada kegagalam pentadbiran sendiri.
“Jika mereka mendengar pandangan yang diberikan selama ini sudah pasti masalah banjir tidak akan menjadi buruk sebegini.
“Hanya kerana tamak dan mahu untung kini rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya. Jadi seharusnya Dap menyelesaikan masalah ini sendiri dan membayar gantirugi kepada setiap mangsa banjir,” tegas Razak.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Negeri Pulau Pinang yang juga merupakan Adun Negeri Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini memohon agar kerajaan persekutuan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir di negeri tersebut.
0 comments:
Post a Comment