Friday 15 September 2017

Enam Projek PR1MA Sedia 16,297 Unit Rumah Di Pulau Pinang


GEORGE TOWN  – Kerajaan Pulau Pinang tidak perlu mempersoalkan status Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) jika agensi kerajaan persekutuan di negeri ini tidak diberi layanan sewajarnya, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata sebanyak enam projek PR1MA telah dirancang di negeri itu namun selepas dua tahun, hanya satu projek yang diluluskan kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

“Sebanyak 16,297 unit rumah di bawah PR1MA melibatkan jenis apartmen dan teres di enam lokasi di negeri ini telah diluluskan oleh kerajaan pusat membabitkan Bukit Gelugor yang akan membangunkan 905 unit apartmen dan Sungai Pinang, Balik Pulau (6,796 unit apartmen).

“Di Teluk Kumbar membabitkan 3,944 unit apartmen dan Batu Feringghi (1,248 unit apartmen) dan di bahagian seberang pula membabitkan projek di Mukim 4 Permatang Pauh (1,017 unit apartmen) serta Tasek Gelugor 2,387 rumah teres,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo yang menggesa Perbadanan PR1MA supaya menjelaskan status rasmi berhubung unit rumah yang diluluskan di negeri itu.

Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata pembinaan projek berkeluasan lebih empat hektar di Mukim 4, Permatang Pauh telah dimulakan sejak 27 Julai lepas dan dijangka siap kira-kira tiga tahun lagi manakala projek lain masih menunggu kelulusan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri kata tiada projek perumahan mampu milik dari PR1MA dan ia hanya omong kosong dari kerajaan pusat sahaja…jadi, hari ini saya nak beritahu kepada mereka enam projek itu telah dihantar permohonan merancang sejak 2015 tapi tahun ini baru satu sahaja projek dilaksanakan.

“Lima projek yang dihantar permohonan itu dibuat menerusi pemaju atau pemilik asal tanah tempat pembinaan rumah PR1MA berkenaan dan ia akan dipindah milik kepada PR1MA selepas mendapat kelulusan merancang,” katanya.

Beliau berkata PR1MA juga sedang meneliti beberapa lokasi lain di Pulau Pinang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memastikan lebih ramai rakyat di negeri itu menerima manfaat berkenaan.

Selain itu, kerajaan Persekutuan menerusi sembilan agensinya di negeri ini telah dan akan membina 54,532 rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik di seluruh Pulau Pinang.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 5,664 unit rumah di bawah 26 projek berjaya dibina, 8,028 rumah menerusi 27 projek masih dalam perancangan dan kita sedang dalam usaha mengemukakan pelan kebenaran merancang bagi membina sebanyak 40,660 rumah di bawah 24 projek,” katanya.

0 comments:

Post a Comment