Monday 18 September 2017

Guan Eng Hanya Beri Alasan: Muhammad Farid

 

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dibidas berhubung pendirian beliau yang menyatakan terlepas pandang berhubung kegagalan menyalurkan sekurang-kurangnya RM22.09 juta peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang dinyatakan dalam Laporan Audit Pulau Pinang 2016.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri, Datuk Dr Muhammad Farid Saad, menyifatkan pendirian Guan Eng itu sebagai alasan untuk mengelak daripada menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, khususnya dalam menangani isu banjir kilat.

Katanya, pendirian itu juga jelas membuktikan Guan Eng kurang arif mengenai pentadbiran kerajaan negeri, selain dipercayai berpunca daripada sikap suka menuding jari kepada pihak lain terutama kerajaan Persekutuan.

"Saya kasihan kerana pegawai Guan Eng hanya memaklumkan perkara baik saja termasuk bekas Yang Dipertua Majlis Seberang Perai (MPSP) yang kini Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif yang perlu memaklumkan kepada Ketua Menteri.

"Mereka (pegawai Guan Eng) sepatutnya mencontohi sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Arifin yang lantang mengkritik kerajaan negeri dan tidak kisah dimarahi ketika membela penduduk di kawasannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang mengakui tidak maklum mengenai kegagalan kerajaan negeri menyalurkan dana sekurang-kurangnya RM22.09 juta hasil caruman perparitan kepada JPS Pulau Pinang, sejak 2008 hingga Jun tahun lalu.

Difahamkan, dana bernilai RM22.09 juta yang dinyatakan dalam Laporan Audit 2016 itu dikatakan hanya merangkumi jumlah caruman perparitan oleh pemaju swasta yang dibayar kepada MPSP, dan tidak termasuk nilai tertunggak di MBPP.

Muhammad Farid turut menyifatkan alasan Guan Eng bahawa JPS adalah agensi di bawah kerajaan Persekutuan sebagai suatu yang menghairankan apabila beliau seharusnya maklum bahawa agensi itu turut menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Selain JPS, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengguna pakai kaedah sama iaitu membelanjakan peruntukan daripada sumber kewangan negeri dan Pusat. Justeru, Guan Eng perlu berhenti memberi alasan tidak munasabah," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment