Thursday 21 September 2017

Hubungan Malaysia-Indonesia Ibarat Sebuah Keluarga – Najib


JAKARTA, 21 Sept – Malaysia sentiasa menganggap hubungan dua hala dengan Indoensia seperti hubungan dalam sebuah keluarga yang diumpamakan “air yang dicincang tak akan putus”, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun hubungan antara kedua-dua negara ini mengalami kisah pahit-manis dan suka-duka dalam melakar sejarah negara masing-masing namun talian persaudaraan yang terbina antara Malaysia-Indonesia semakin hari semakin kukuh.

“Saya yakin bahawa hubungan akrab dan positif antara dua buah negara berjiran bukan sahaja mampu menjadi semakin mantap bahkan bertambah kukuh melangkaui sempadan diplomatik,” katanya dalam amanat khas yang disiarkan menerusi klip video sempena majlis makan malam sambutan Hari Malaysia dan 60 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-Indonesia di sini malam tadi.

Majlis anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia itu dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Muhajir Effendy, Menteri Komunikasi dan Informatik Indonesia Rudyantara, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, duta-duta negara asing dan ahli-ahli perniagaan.

Najib berkata adalah menjadi satu kebanggaan bagi Malaysia dan Indonesia kerana kedua-dua negara ini bukan sekadar berjiran malah mempunyai banyak persamaan serta berkongsi budaya dan bahasa yang melambangkan kekayaan bangsa serumpun.

Perdana menteri juga menyeru semua pihak agar terus memelihara dan memperkukuh hubungan akrab yang terbina itu agar mampu melampaui batas-batas kebudayaan yang lazim.

Hubungan yang dibina selama 60 tahun tidak harus dilihat dari aspek hubungan rasmi sahaja malah semua pihak harus berusaha meningkatkannya ke tahap lebih tinggi untuk generasi akan datang, katanya.

Terdahulu itu, Muhajir berkata walaupun hubungan Malaysia-Indonesia mempunyai pasang surut tetapi para pemimpinnya sentiasa mengutamakan kedamaian hidup berjiran.

Slogan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia “Negaraku Sehati Sejiwa” itu perlu diperluaskan di peringkat hubungan antara Malaysia dan Indonesia supaya rakyat di kedua-dua buah negara juga menjadi hubungan sehati sejiwa, katanya.

Beliau berkata slogan sehati sejiwa itu sangat mendalam maknanya jika ia dapat diperluaskan dalam hubungan rakyat dengan rakyat antara Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata pihak kedutaan sering menganjurkan pelbagai program persahabatan dengan Indonesia kerana mengambil pendekatan “mensejahterakan jiran” dalam mengukuhkan hubungan.

“Acara majlis makan malam yang dianjurkan ternyata mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat apabila dimeriahkan dengan persembahan artis-artis Malaysia dan Indonesia yang masing-masing diminati oleh rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata daripada maklum balas yang diterimanya, banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan di Indonesia menyambut baik malah berbangga dengan majlis itu kerana ia dapat mengakrabkan lagi hubungan rakyat dengan rakyat Malaysia dan Indonesia.

Antara artis popular kedua-dua negara yang membuat persembahan pada majlis makan malam itu yang dimeriahkan juga dengan pementasan kebudayaan, ialah penyanyi rock Malaysia Amy Search dan penyanyi pop Indonesia Rossa.

0 comments:

Post a Comment