KUALA LUMPUR, 28 Sept – Dap mungkin boleh memperalatkan beberapa kerat pemimpin Melayu untuk bersama mereka bagi memperlihatkan parti tersebut sebagai terbuka untuk semua kaum, namun tidak mungkin dapat membuang lipatan sejarah sebagai parti politik yang membawa ideologi paling rasis dan cauvinis di antara parti-parti politik yang ada dalam negara ini, demikian menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin.
Jelasnya, kemelampauan Dap dalam mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, khususnya berhubung agama Islam yang merupakan agama Persekutuan, memberikan kesan yang cukup mendalam di hati dan pemikiran orang Melayu di negara ini.
“Tidak mungkin Dap dapat memadamkan sejarah betapa rasis dan cauvinisnya mereka apabila bercakap tentang hak-hak istimewa orang Melayu dan juga agama Islam. Penentangan Dap terhadap negara Islam sudah menjadi dasar kepada ideologi parti tersebut yang menyokong sistem sekular untuk dilaksanakan di negara ini.
“Bahkan, Dap beranggapan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam, sebaliknya ialah sebuah negara sekular, dan atas alasan itu, pemimpin-pemimpin Dap sewenang-wenangnya menggunakan isu-isu agama untuk dijadikan senjata politik, termasuklah isu nama Allah sehingga ia dibawa ke mahkamah, tanpa menghiraukan apa perasaan umat Islam, khususnya bangsa Melayu yang berada di negara ini.
“Berapa ramai sekalipun pemimpin Melayu yang Dap cuba tampilkan, tidak akan mengubah apa-apa tanggapan umat Islam, khususnya orang Melayu terhadap Dap. Kita tidak mudah lupa dengan segala kata-kata biadap pemimpin Dap sejak dulu yang begitu lantang mempertikaikan hak-hak istimewa dan juga mempersendakan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini,” tegasnya hari ini.
Justeru, kata beliau lagi, Dap tidaklah perlu membuang masa berpura-pura memperlihatkan parti mereka sebuah parti yang terbuka untuk berbilang bangsa dan cuba untuk membuang imej anti Islam yang sudah sinonim dengan ideologi parti tersebut.
“Biarpun Tun Mahathir cuba mempromosikan Dap sebagai sebuah parti yang kononnya tidak rasis, tidak anti Islam dan sebagainya, usaha Tun Mahathir itu sudah terlalu lambat. Mustahil dalam sekelip mata, Tun Mahathir boleh mengubah persepsi yang beliau sendiri tanam selama puluhan tahun di pemikiran umat Islam terutama orang Melayu hari ini.
“Apatah lagi dengan tindakan dan kenyataan pemimpin Dap sendiri yang jelas di depan mata kita memperlihatkan penentangan mereka terhadap hak-hak istimewa orang Melayu dan agama Islam yang telah termaktub di dalam perlembagaan negara.
“Ianya umpama pepatah Melayu, sudah terang lagi bersuluh, jadi tak usahlah Dap terus membuang masa dengan mempergunakan beberapa kerat pemimpin Melayu, termasuklah Tun Mahathir untuk membersihkan imej rasis dan cauvinis Dap di pemikiran orang Melayu di negara ini. Ianya sudah terlambat,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment