Tuesday 19 September 2017

KBS Tawar Perkhidmatan Pendawaian Percuma Di Sekolah Tahfiz


Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan perkhidmatan percuma untuk membuat pendawaian kepada semua sekolah tahfiz yang berhampiran dengan IKBN di seluruh negara.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata setakat ini sebanyak 100 buah sekolah telah dikenal pasti dan pendawaian itu akan dibuat dalam masa yang terdekat.

“Walaupun tak ada kaitan dengan pendawaian seperti mana siasatan polis telah buat rumusan yang ini adalah kes khianat, isu keselamatan tahfiz perlu dilihat secara keseluruhan dan KBS telah arahkan institusi IKBN untuk membuat pendawaian elektrik secara percuma kepada sekolah tahfiz.

“Kita akan buat pemantauan untuk pembaikan sistem pendawaian sekiranya diperlukan,” katanya.

Sebelum itu, KBS telah memberi sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang diterima pengetuanya, Muhammad Zahid Mahmud.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tujuan program pemulihan kepada remaja yang terlibat dengan dadah.

“Remaja-remaja ini kita akan beri kemahiran supaya dapat pekerjaan. Usaha ini akan diteruskan sebagai salah satu usaha program pemulihan supaya mereka tak terlibat semula dengan dadah,” ujarnya.

Dalam tragedi pagi Khamis lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran tersebut.

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.4 juta.

0 comments:

Post a Comment