Saturday 2 September 2017

Kempen #SayangMalaysia : Pertandingan Foto Dan Video Pendek #MyEvent


PUTRAJAYA, 2 Sept – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menganjurkan Pertandingan Foto dan Video Pendek menggunakan platform media sosial dengan subtema #MyEvent bersempena dengan Kempen Media Sosial #SayangMalaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata peserta mesti merupakan ‘followers’ dan ‘likers’ laman Facebook, Instagram atau Twitter rasmi MOTAC untuk melayakkan mereka menyertai pertandingan tersebut.

“Penyertaan hanyalah dengan menggunakan kedua-dua hashtag iaitu #MyEvent dan #SayangMalaysia dalam paparan yang dimuat naik ke akaun mereka iaitu Instagram, Facebook atau Twitter. Pelbagai hadiah menarik bagi tempat pertama hingga ketiga serta lima hadiah sagu hati ditawarkan.

“Video pendek yang berdurasi antara 30 hingga 60 saat yang dimuat naik perlulah berkaitan pengalaman menarik yang dapat menimbulkan semangat patriotisme ketika menyaksikan acara-acara berskala kecil dan besar yang dianjurkan di Malaysia seperti sambutan Hari Kebangsaan negara, konsert, seminar, persidangan, pertandingan dan sebagainya,” katanya.

MOTAC berkata Pertandingan Foto dan Video Pendek #SayangMalaysia merupakan kempen anjuran kementerian itu yang bertujuan menggalakkan pelancong domestik dan luar negara menggunakan media sosial untuk berkongsi detik indah dan keunikan semasa mereka berada Malaysia.

“(Ini) seterusnya boleh menjadi bahan rujukan pelancong yang ingin melawat Malaysia sekali gus memperkenalkan tarikan-tarikan unik yang ada di Malaysia ke serata dunia,” katanya.

MOTAC berkata pemenang #MyEvent akan diumumkan melalui laman Facebook dan Instagram MOTAC pada minggu kedua bulan November 2017.

Maklumat lanjut berkaitan pertandingan ini boleh didapati di laman web rasmi kempen media sosial #SayangMalaysia iaitu www.motac.gov.my/sayangmalaysia
#MyEvent merupakan tema kelima untuk kempen ini selepas #MyCuisine, #MyDestination, #MyCulture dan #MySports.

Tema seterusnya ialah #MyFamilyFun (November hingga Disember).

Kempen media sosial #SayangMalaysia merupakan inisiatif lautan biru kebangsaan (NBOS) antara jabatan/agensi kerajaan dan pihak swasta seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Latihan Khidmat Negara, iM4U, badan bukan kerajaan dan pihak industri pelancongan.

0 comments:

Post a Comment