Saturday 2 September 2017

KKM: Tiada Kelewatan Atau Desakan Bayaran


PUTRAJAYA, 2 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan portal akhbar atas talian “The Independent SG” (theindependent.sg) bertarikh 31 Ogos 2017 mengenai seorang warga Singapura yang telah meninggal dunia setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Johor Bahru. Takziah diucapkan kepada keluarga dan rakan mendiang atas pemergian beliau. Namun begitu, KKM ingin menjelaskan bahawa tiada kelewatan atau desakan bayaran pendahuluan oleh Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi pesakit ini.

Dalam laporan tersebut, the theindependent.sg menyatakan bahawa lelaki warga Singapura yang berumur 25 tahun itu telah mengalami kecederaan kritikal akibat kemalangan jalan raya di Johor Bahru. Portal itu juga melaporkan bahawa masa respon ambulan dari HSA adalah lewat iaitu 30 minit. Semakan rekod perkhidmatan ambulan HSA mendapati bahawa panggilan kecemasan telah dibuat pada 25 Ogos 2017, pukul 2:57 pagi. Ambulan telah dihantar daripada HSA pada pukul 2:59 pagi dan telah tiba di tempat kejadian pada pukul 3:15 pagi. Ambulan kemudiannya telah bertolak kembali ke HSA pada pukul 3:15 pagi. Syabas diucapkan kepada perkhidmatan ambulan yang telah berjaya memberikan perkhidmatan kecemasan yang pantas, iaitu dengan masa penghantaran (despatch time) selama dua (2) minit dan masa respon selama 13 minit.

Keadaan pesakit didapati kritikal dan setibanya di Jabatan Kecemasan HSA, beliau telah dikejarkan ke Zon Merah di mana rawatan kecemasan yang telah sebelum itu dimulakan oleh petugas ambulan adalah diteruskan mengikut protokol Advanced Trauma Life Support (ATLS). Pasukan Jabatan Kecemasan yang cekap telah melaksanakan tugasan dengan professional dan pantas, termasuk menjalankan ujian yang diperlukan (Imbasan X-ray, imbasan CT otak, tengkuk dan dada), rawatan (termasuk bantuan pernafasan) dan rujukan kepada pasukan pakar yang berkaitan. Memandangkan ini adalah kes kecemasan, rawatan dan ujian tersebut telah dijalankan tanpa memohon sebarang bayaran atau deposit terlebih dahulu. Ini adalah selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM bertarikh 4 Mac 2015 berkaitan Garis Panduan pengurusan kutipan hasil bagi pesakit warga asing yang tidak membayar deposit semasa mendapatkan rawatan di hospital Kerajaan.

Memandangkan beliau telah mengalami kecederaan otak, pesakit telah dirujuk kepada pasukan Pembedahan Neuro di mana pembedahan kecemasan telah dirancang (decompressive craniectomy plus removal of clot and intracranial pressure monitoring), tanpa sebarang permintaan untuk bayaran deposit. Hanya setelah keluarga pesakit tiba di HSA, mereka telah dipohon membuat bayaran deposit iaitu sama seperti protokol pengurusan kutipan hasil bagi pesakit warga asing. Suka dinyatakan di sini bahawa sebarang ujian dan rawatan kecemasan yang diperlukan pesakit tidak pernah diberhentikan atau dilewatkan seperti yang dilaporkan. Malahan keluarga pesakit sendiri telah memohon untuk mendiscaj pesakit bertentangan dengan nasihat oleh pakar (discharge at own risk – AOR discharge). Mereka berhasrat untuk dimasukkan ke sebuah hospital di Singapura, iaitu setelah memahami risiko yang terlibat dengan melengahkan pembedahan tersebut.

KKM memohon semua pihak yang terlibat untuk berhati-hati dalam membuat laporan dan mengeluarkan komen dengan penuh bertanggungjawab. Tindakan mengeluarkan maklumat yang tidak tepat dan kenyataan yang tidak berasas boleh mengakibatkan salah faham dan boleh menggugat keharmonian. KKM sememangnya menghargai nyawa dan berusaha sehabis baik untuk merawat sebarang pesakit tanpa mengira latar belakang mahupun status kewarganegaraan. Ini adalah selaras dengan budaya kerja dan korporat KKM iaitu “Penyayang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan”.

“Kami Sedia Membantu”

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

0 comments:

Post a Comment