Friday 15 September 2017

KWSP Catat Pendapatan Lebih Tinggi Sebanyak RM11.51 Bilion Pada Suku Kedua


KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak 36.36 peratus kepada RM11.51 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017 (Q2 2017) berbanding RM8.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, dana simpanan itu berkata daripada jumlah pendapatan itu, instrumen Pendapatan Tetap menyumbang 37.29 peratus, ekuiti (53.72 peratus), manakala instrumen pasaran hartanah dan infrastruktur dan instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang 6.23 peratus dan 2.64 peratus.

Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP mencatatkan kekurangan bersih yang lebih rendah, sebanyak RM1.34 bilion pada Q2 2017, peningkatan RM2.28 bilion atau 62.98 peratus daripada RM3.63 bilion sebelumnya, selari dengan prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata kedudukan pasaran semakin baik berbanding setahun yang lepas, dengan kesemua kelas aset dalam portfolio KWSP mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang sihat, dengan ekuiti akan terus menjadi pemacu keuntungan utama bagi suku dalam tinjauan.

“Walaupun kami mencatatkan peningkatan prestasi yang ketara tahun ke tahun bagi kedua-dua suku sebelumnya dan suku semasa, momentum agak lemah, yang menyaksikan keuntungan korporat yang normal pada Q2 2017. Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang sederhana bagi suku akan datang,” kata Shahril.

Ekuiti yang meliputi 41.96 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP pada Q2 2017, menyumbang pendapatan RM6.18 bilion, naik 61.45 peratus daripada RM3.83 bilion yang dicatatkan pada Q2 2016.

Shahril Shahril berkata dana simpanan itu juga memperoleh manfaat daripada kepelbagaiannya dalam kelas aset lain yang menyediakan aliran pendapatan yang stabil, termasuk instrumen Pendapatan Tetap dan pelaburan hartanah dan infrastruktur melalui anak-anak syarikatnya.

Sejumlah RM820.71 juta daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM11.51 bilion dijana daripada Simpanan Shariah, manakala RM10.69 bilion lagi menerusi Simpanan Konvensional.

Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya semata-mata daripada bahagian aset Syariah manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana menerusi aset Syariah dan bukan Syariah.

“Dalam ekuiti, prestasi sektor perbankan sangat baik sejak awal tahun manakala sebahagian besar kekurangan yang dicatatkan pada suku ini, adalah menerusi sektor telekomunikasi serta minyak dan gas.

“Jika keadaan ini berterusan, kami menjangkakan Simpanan Konvensional akan meraih manfaat dan berprestasi tinggi dalam jangka pendek,” kata Shahril.

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM759.78 bilion, peningkatan sebanyak 3.92 peratus atau RM28.67 bilion berbanding RM731.11 bilion pada 31 Dis 2016.

Daripada jumlah aset pelaburan ini, RM362.50 bilion atau 47.71 peratus membabitkan pelaburan patuh Syariah dan bakinya dilaburkan dalam aset bukan Syariah.

Pada 30 Jun, 2017, pelaburan luar negara KWSP, yang mewakili 29 peratus daripada jumlah aset pelaburannya, menyumbang 32.50 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam tempoh yang ditinjau.

“Pelaburan asing kami terbukti menjadi pemacu pendapatan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun jumlahnya kurang daripada 30 peratus daripada jumlah portfolio pelaburan pada Q2 2017.

Peningkatan nilai aset global telah mengurangkan kesan negatif akibat pengukuhan ringgit, dan memberi peluang kepada kami untuk mencatat keuntungan,” kata Shahril.

Pada akhir 2016, KWSP menetapkan pulangan 3.83 peratus, melepasi inflasi, premium yang ketara melebihi dua peratus daripada sasaran strategik inflasi, dan memastikan simpanan ahli tidak hanya dijaga, malah dipertingkatkan.

Prestasi tinggi ini didorong terutama oleh portfolio luar negara, yang mencatatkan pulangan pelaburan tahunan (ROI) tiga tahun sebanyak 11.10 peratus sehingga Jun 2017, sekali gus meningkatkan nilai pulangan KWSP.

“Walaupun pasaran domestik terus penting kepada pelaburan KWSP, kami perlu mempelbagaikan portfolio ke pasaran yang lebih luas, dengan peluang pelaburan yang lebih baik dan kecairan yang lebih besar untuk membolehkan KWSP melaksanakan strategi, selaras dengan mandat kami.

“Tindakan ini akan melengkapkan KWSP dengan keupayaan dan ketahanan untuk menjangka dan meningkatkan cabaran pasaran pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, disebabkan kekangan peraturan, pendedahan KWSP kepada pelaburan luar negara lebih rendah berbanding peruntukan aset strategik 32 peratus, khususnya dalam hartanah dan infrastruktur.

Shahril berkata jurang ini berpotensi menghasilkan pulangan yang lebih rendah berbanding jangkaan KWSP pada tahun-tahun akan datang.

Sehingga 30 Jun 2017, pendedahan KWSP kepada hartanah dan kelas aset infrastruktur kekal pada kira-kira empat peratus berbanding peruntukan aset strategiknya sebanyak 10 peratus.

Selain untuk melindung nilai inflasi, hartanah dan infrastruktur menyediakan pulangan yang kompetitif dengan risiko yang lebih rendah berbanding ekuiti dalam jangka sederhana dan panjang.

Walaupun mencatat pulangan ke atas pelaburan tahunan yang ketara sebanyak 8.80 peratus dalam tempoh tiga tahun lepas, sumbangan pendapatan daripada hartanah dan infrastruktur keil kerana pendedahan kepada kelas aset rendah berbanding peruntukan aset sasaran.

Mengenai unjuran bagi suku kedua tahun ini, Shahril berkata dengan ringgit menunjukkan peningkatan yang stabil, pelaburan luar (dunia) akan terus menjadi antara pemaju pendapatan KWSP pada masa akan datang.

Dalam negara, walaupun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar terus meningkat, KWSP akan terus berhati-hati ke atas faktor luar yang mungkin mencetuskan ketidaktentuan, termasuk kemungkinan kenaikan kadar faedah dan ketengangan geopolitik dunia,” katanya.

0 comments:

Post a Comment