Friday 15 September 2017

Mahdzir Saran Jawatankuasa Selaras Sekolah Tahfiz


KUALA NERANG, 15 Sept – Kementerian Pendidikan mencadangkan agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau sekolah tahfiz di seluruh negara, melibatkan kerajaan pusat dan negeri.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata buat masa ini, sekolah tahfiz berada di bawah bidang kuasa majlis agama negeri yang diterajui oleh sultan atau yang dipertua negeri selaku ketua agama negeri masing-masing.

Justeru, cadangan perlu mendapat persetujuan sultan atau yang dipertua negeri yang berkenaan, katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Taklimat Pengurusan Jalinan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata jika jawatankuasa itu dapat ditubuhkan, ia akan berperanan menyeragamkan pendaftaran pelajar serta memantau operasi dan keselamatan pusat tahfiz di setiap negeri.

Mahdzir berkata demikian ketika ditanya tentang kemungkinan meletakkan sekolah tahfiz di bawah kementerianya susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru, semalam.

Beliau berkata institusi tahfiz di Malaysia ketika ini terbahagi kepada dua kategori iaitu sekolah tahfiz yang berdaftar dengan majlis agama Islam negeri dan yang tidak berdaftar dengan mana-mana institusi.

“Pengurusan sekolah ini perlu ada satu kurikulum khusus iaitu pendidikan formal dan pembelajaran tahfiz untuk mendalami al-Quran.

“Misalnya, pelajar sekolah menengah perlu mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia dan dalam masa sama masih meneruskan pengajian tahfiz mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir turut menyelar tindakan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang memuat naik status biadab di laman sosial berhubung insiden tragis semalam dengan mengatakan ia sebagai balasan kepada ‘dosa menteri pelajaran yang tak prihatin’.

“Bila berlaku kejadian macam ini jangan cepat menuding jari… salahkan orang itu, orang ini. Sebaiknya zahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dan bukannya memuat naik status merepek di laman sosial,” katanya.

0 comments:

Post a Comment