Thursday 14 September 2017

Main Sentimen Emosi, Janji Bulan Bintang Modal Politik Pembangkang


KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata pembangkang gemar menggunakan sentimen dan emosi rakyat demi kepentingan mereka.

Jelas beliau, kerana itulah pembangkang boleh menabur janji manis tidak realistik kerana yang mahu melaksanakannya bukan mereka tetapi kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang suka main emosi, buat rakyat marah sedangkan banyak yang telah kerajaan lakukan untuk tingkatkan ekonomi orang Melayu.

“Sebagai contoh dasar Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang diwujudkan oleh kerajaan. Jika tidak ada RUMAWIP maka sudah pasti rumah mampu milik akan terus menjadi rumah mampu tengok.

“Rakyat juga sebenarnya perlu sedar, tidak ada dalam kamus kerajaan pimpinan BN yang ditunjangi UMNO untuk melaksanakan sesuatu yang akan menyusahkan rakyat kerana apa yang dilaksanakan adalah yang terbaik untuk negara dan rakyat,” ujarnya ketika menjadi salah seorang panel pada sesi ‘townhall’, Dialog Perjuangan4all di Parlimen Wangsa Maju baru-baru ini.

Tambah Shahril, setiap apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah pasti demi kebaikan negara dan rakyat walaupun sesuatu keputusan itu tidak popular.

“Kita bukan nak cakap kita semua elok tapi bezanya kita dengan pembangkang kita tidak janji bulan dan bintang.

“Sebagai contoh, pembangkang cakap tidak mahu pekerja asing tapi bersediakah kita nak ganti kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing. Pembangkang cakap senang… naikkan gaji tapi untuk laksanakan mampukah para peniaga nak naikkan gaji semata-mata mahu pekerja tempatan,” jelasnya lagi.

Justeru,rakyat perlu berhati-hati dengan permainan pembangkang yang akan terus bermain dengan sentimen emosi demi menyemai rasa benci di hati rakyat kepada kerajaan. 

0 comments:

Post a Comment