Friday 29 September 2017

Malaysia Di Iktiraf Negara Pertama Asia Pasifik Laksana Pendekatan Dana Hasil Sosial


PUTRAJAYA, 29 Sept – Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai negara pertama di rantau Asia Pasifik daripada Suruhanjaya Ekonomi dan Sosia Asia dan Pasifik Pertubuhan Bangsa Berdatu (ESCAP) dan British Council bagi penciptaan dasar menggunakan pendekatan baharu dan kreatif melalui Dana Hasil Sosial (SOF).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Menteri di Jabatan Perdana MenteriDatuk Seri Nancy Shukri berkata pendekatan SOF membolehkan organisasi-organisasi sosial memperolehi dana untuk mencapai impak yang tinggi dalam menjalankan program intervensi yang akan membantu kumpulan masyarakat yang memerlukan perhatian.

“Malaysia mendapat pujian dan dikagumi ESCAP dan British Council kerana dilihat ‘berani’ meneraju pendekatan baharu yang belum pernah dicuba oleh mana-mana negara di rantau Asia Pasifik menerusi model pembiayaan berasaskan keberhasilan yang menggalakkan pelaburan sektor swasta, yayasan dan individu dalam menyampaikan perkhidmatan sosial secara lebih berkesan,” katanya.

Malah, menurutnya daripada tinjauan yang dijalankan Yayasan Thomson Reuters pada tahun lepas, Malaysia menjadi negara kesembilan terbaik di dunia untuk menjadi usahawan sosial berdasarkan kepada enam kriteria iaitu sokongan daripada pihak kerajaan, pemahaman awam, menarik kakitangan mahir, menyara hidup, memperoleh momentum dan akses kepada pelaburan.

Nancy sedang menghadiri Dialog Dasar Perusahaan Sosial dan Pelaburan Impak Asia-Pasifik bersempena dengan Forum Perusahaan Sosial Dunia 2017 (SEWF 2017) dari 27 sehingga 29 Sept di Christchurch, New Zealand.

Beliau turut mengetuai delegasi Malaysia dalam dialog anjuran ESCAP dan British Council yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM)Naser Jaafar.

Menurut Nancy, British Council turut mengiktirafkan bahawa hanya Malaysia dan Scotland yang mempunyai kaedah mengukur hasil intervensi sosial dan keberkesanannya melalui hala tuju atau Roadmap yang berstruktur menerusi Kajian Penilaian Kemajuan Sosial (SPA) yang bermatlamat membantu memperkemaskan pembiayaan untuk sektor sosial.

“Matlamat utama SPA adalah untuk mencipta mekanisme yang boleh mengukur kemajuan sosial di Malaysia serta membolehkan model pembiayaan sosial berkonsepkan “pembayaran untuk hasil”,”katanya.

Dialog Dasar Perusahaan Sosial dan Pelaburan Impak Asia-Pasifik menjadi platform kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk berkongsi dan bersama-sama membincangkan dasar dan strategi yang inovatif bagi menyokong pembangunan keusahawanan sosial dan pelaburan impak dalam mencapai Agenda 2030.

0 comments:

Post a Comment