Saturday 9 September 2017

Malaysia Mahu Kuasa Besar Dunia Hentikan Penindasan Terhadap Rohingya


BAGAN DATUK, 9 Sept – Malaysia mahu kuasa-kuasa besar dunia memainkan peranan untuk menghentikan dan menangani keganasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendirian Malaysia itu akan disuarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House, Selasa depan.

“Saya telah berbisik dengan beliau (Najib), bukan kita mahu meminta negara besar ataupun Donald Trump membantu, tetapi kita mahu memberikan kesedaran.

“Kita mahu kuasa besar melakukan sesuatu untuk memastikan tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya dihentikan serta-merta,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk menyatakan demikian ketika berucap merasmikan sambutan 80 tahun penubuhan Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Al-Syar’iyyah di Batu 20, Selekoh di sini, hari ini.
​​​
​​​​​​​​​​​​​​Selain itu, Ahmad Zahid berkata usaha kerajaan menghantar bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di sempadan Myanmar-Bangladesh harus disokong oleh segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan pegangan agama.

Timbalan perdana menteri turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang melabel pelarian Rohingya sebagai pengganas termasuk rakyat negara ini sendiri. 

“Kofi Annan (bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) pernah menyatakan keperluan supaya dihentikan tindakan ganas ke atas Rohingya kerana kononnya mereka ini pengganas.

“Tidak adil dianggap atau digambarkan pengganas. Mereka mahu pertahankan diri, mereka mahu membina hak mereka sendiri, hak sebagai orang yang dilahirkan di negara berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan Myanmar perlu membezakan gerakan yang disebut pengganas dengan penduduk biasa atau kanak-kanak. 

“Mustahil menganggap kanak-kanak atau wanita yang tidak berdosa sebagai pengganas dan dibakar, dicampak dalam sungai dan dikerat dan dicampakkan mayat mereka,” katanya.

Pada majlis itu,  Ahmad Zahid merasmikan dan melancarkan bangunan baharu SMA Al-Ulum Al-Syar’iyyah,  lagu dan bendera rasmi sekolah yang baharu selain mengumumkan peruntukan tambahan RM3 juta untuk penambahbaikan blok bangunan sekolah dan menyalurkan sumbangan peribadi untuk pembelian sebuah van.

0 comments:

Post a Comment