Sunday 3 September 2017

Malaysia Ulangi Gesaan PBB Agar Myanmar Selesaikan Krisis Di Rakhine


KUALA LUMPUR, 3 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mengulangi gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres supaya pasukan keselamatan Myanmar mencari pendekatan holistik dalam menangani krisis di negeri Rakhine.

“Kami menggesa supaya semua pihak bertenang dan bersabar. Situasi dahsyat yang membelenggu saudara kita daripada etnik Rohingya perlu diredakan demi kebaikan Myanmar dan rantau ini,” katanya menerusi akaun Twitter & Facebook beliau hari ini.

Pada Jumaat, agensi berita China, Xinhua melaporkan bahawa setiausaha agung PBB itu menyuarakan kebimbangan yang mendalam berhubung tindakan kezaliman dalam operasi oleh pasukan keselamatan Myanmar di negeri Rakhine dan menggesa semua pihak agar bertenang serta bersabar bagi mengelak daripada berlakunya bencana kemanusiaan.

Laporan itu menyebut Myanmar melakukan kekerasan itu berikutan serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar minggu lepas oleh Rohingya, sebuah etnik minoriti Muslim yang tinggal di pantai barat negara Buddha itu.

0 comments:

Post a Comment