Saturday 2 September 2017

‘Najibnomics’ Beri Kesan Baik Untuk Ekonomi Malaysia – Gale


SINGAPURA, 2 Sept  – Satu aspek ketara apa yang telah ditulis mengenai ekonomi Malaysia sejak kebelakangan ini adalah sejauh mana penilaiannya diwarnai oleh sebilangan kecil kontroversi, demikian menurut satu artikel yang ditulis oleh penulis kanan The Straits Times, Dr Bruce Gale pada Jumaat.

Tetapi adakah wajar untuk mengandai satu-satunya isu yang berbaloi disebut, apabila memperkatakan tentang cara kerajaan di Kuala Lumpur menguruskan ekonomi, adalah melibatkan tuduhan salah pengurusan atau penipuan kewangan?, tanya Gale.

Gale ialah bekas rakan kongsi Political and Economic Risk Consultancy yang berpangkalan di Hong Kong dan ketika ini menyediakan khidmat penyelidikan, analisis dan editorial bebas kepada sektor swasta.

Versi artikel beliau disiarkan dalam edisi bercetak The Straits Times di Singapura pada 1 Sept  dan bertajuk, “Najibnomics has been good for Malaysia’s economy” (Najibnomics beri kesan baik bagi ekonomi Malaysia).

Bagi sesetengah pemerhati, Gale berkata, hampir tidak ada perkara lain yang lebih penting bagi mereka kecuali pendedahan terkini melibatkan organisasi seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Felda Global Ventures (FGV) dan, sudah tentunya, kontroversi pemberian hadiah US$681 juta (US$1=RM4.27) dari Arab Saudi.

“Kesan daripada pendekatan ini adalah kecenderungan untuk melihat setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai negatif.

“Pengkritik biasanya menyediakan statistik dalam menyokong hujah mereka bahawa di bawah pimpinan PM Najib, hutang negara melambung naik, Ringgit jatuh menjunam dan inflasi telah menjejaskan pendapatan golongan miskin. Sesetengah pemerhati malahan memperkatakan tentang “krisis” yang bakal berlaku.

“Namun adakah semua perkara ini benar? Dan, jika ia benar, bolehkah semuanya dipersalahkan kepada perdana menteri sekarang? Malangnya, kedua-dua pihak yang berbeza politik amat sensitif dan sangat beremosi hinggakan percubaan sebenar  untuk merangka penilaian objektif kemungkinan besar akan diabaikan.

“Seperti yang saya hujahkan dalam buku baharu saya, Economic Reform In Malaysia: The Contribution Of Najibnomics (Pembaharuan Ekonomi di Malaysia:Sumbangan Najibnomics) (diterbitkan bulan lepas di Malaysia oleh Pelanduk Publications), yang membentuk asas bagi artikel ini, “gambaran sebenarnya tidaklah begitu buruk,” tulis Gale.

Gale memecahkan artikelnya menjadi enam tajuk kecil iaitu Hutang Negara, Kelemahan Ringgit, Impak kepada Orang Miskin, Pembaharuan Birokratik, Kelemahan dan dan Pemberian Pujian Sewajarnya.

HUTANG NEGARA

Sebagai contoh kontroversi tentang hutang negara. Menurut Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan 2016/2017, hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM655.7 bilion pada akhir Jun 2016, amaun yang bersamaan dengan 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia kelihatan membimbangkan, terutamanya kerana angka perbandingan semasa Najib menjadi perdana menteri pada lewat 2008 adalah pada paras selesa 41 peratus.

Bagaimanapun, apabila dilihat dengan teliti, hampir semua kenaikan berlaku dalam satu tahun. Pada 2009, kerajaan di kebanyakan negara menyuntik jumlah yang besar ke dalam ekonomi masing-masing dalam usaha menangani krisis kewangan. Malaysia melakukan perkara yang sama. Akibatnya, hutang sebagai peratusan daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) melonjak kepada 52.8 peratus. Tetapi sejak itu, perkadarannya kekal stabil, meningkat dalam beberapa tahun dan turun dalam beberapa tahun, Jadi tidak ada corak perbelanjaan berterusan melulu atau boros.

Selain itu, sebahagian besar hutang didenominasi dalam ringgit, berbanding mata wang seperti dolar AS. Ini bermakna sebarang penurunan menjunam nilai ringgit (atau sebarang senario lain yang melibatkan pemberhentian aliran masuk modal ke Malaysia) tidak dijangka akan mencetuskan krisis hutang. Juga perlu diingatkan bahawa paras hutang seperti sekarang bukan tidak pernah berlaku sebelum ini. Sebagai contoh pada 1990, hutang berbanding nisbah KDNK Malaysia adalah hampir 80 peratus.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi beberapa syarikat berkaitan kerajaan utama sukar untuk tidak diendahkan. Pada Januari tahun lepas, dilaporkan bahawa 1MDB menanggung hutang berjumlah sekurang-kurang RM50 bilion, berbanding aset RM53 bilion.

Sementara itu, keputusan FGV pada bulan lepas untuk menangguhkan terbitan RM1.5 bilion kertas hutang Islam yang untuk tujuan membiayai semula hutang-hutangnya telah mengembalikan semula perhatian tentang perlunya pelantikan segera pegawai-pegawai tinggi secepat mungkin selepas beberapa siri peletakan jawatan baru-baru ini.

Bagaimanapun, setakat ini, agensi penarafan kredit antarabangsa melihat situasi ini dengan tenang.

Pada April, apabila 1MDB tidak membayar US$50.3 juta kopun bagi bon bernilai US$1.75 bilion susulan pertikaian dengan firma pelaburan Abu Dhabi, IPIC, agensi penarafan Fitch mengeluarkan kenyataan menyatakan ia tidak menjangkakan situasi itu akan memberi kesan negatif segara kepada penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Standard & Poor’s nampaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat yang sama. Pada Jun, agensi penarafan itu berkata walaupun ia memantau dengan rapat situasi itu, prospek ketika ini kekal “stabil”.

Kesan makroekonomi bagi sebarang penurunan kredit pada masa depan juga perlu dilihat dari segi konteks. Oleh kerana dana institusi domestik mempunyai mudah tunai yang besar, sebarang penjualan dalam pasaran ekuiti atau bon negara mungkin terhad.

KELEMAHAN RINGGIT

Tidak dinafikan bahawa nilai ringgit susut sejak beberapa tahun lepas. Namun ia lebih disebabkan oleh faktor asing berbanding domestik, terutamanya kejatuhan dramatik harga minyak global serta penurunan permintaan terhadap  eksport komoditi Malaysia.

Secara perbandingan, impak ketidaktentuan politik yang dibawa oleh pelbagai kontroversi politik berkemungkinan lebih kecil. Pihak yang mendakwa kelemahan ringgit adalah bukti kurangnya keyakinan terhadap Najib di Malaysia, juga perlu menjelaskan mengapa pasaran saham tidak merudum dan mengapakah pula institusi kewangan global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia terus memberi penilaian positif secara konsisten terhadap ekonomi Malaysia.

Perlu diingat, ringgit yang susut nilai bukanlah semuanya membawa keburukan. Ia sebaliknya menjadikan eksport Malaysia lebih murah dan memberi peluang kepada pelabur asing untuk bertapak di negara itu pada kos yang minimum jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

IMPAK TERHADAP GOLONGAN MISKIN

Banyak yang telah dicatatkan mengenai impak dasar ekonomi Najib terhadap golongan miskin, khususnya ketika langkah rasionalisasi subsidi dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bersifat kontroversi.

Namun, hakikatnya, apabila Najib mengambil alih tugas menerajui pentadbiran negara pada 2009, subsidi kerajaan sudah pun menjadi sesuatu yang tidak dapat dipertahankan lagi. Kesemua subsidi ini perlu ditamatkan walaupun ia mendatangkan implikasi inflasi.

Kegagalan berbuat demikian akan hanya meletakkan Malaysia di landasan bahaya. Ia menyebabkan wang yang terhad untuk perbelanjaan aspek kesihatan dan pendidikan – kedua-duanya isu utama untuk golongan miskin serta pelbagai keperluan infrastruktur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi pada masa depan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan.

Kerajaan sudah pun mencuba untuk mengurangkan impak pembaharuan ekonomi ini terhadap golongan miskin dengan memperkenalkan program-program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Sudah pasti, pemberian bantuan sedemikian bukanlah satu penyelesaian yang kekal dan memerlukan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan seimbang. Namun, pertumbuhan itu akan hanya berlaku jika pemimpin itu bersedia mengambil keputusan yang tidak popular tapi penting demi melaksanakan pembaharuan ekonomi.

GST pula perlu dalam usaha memastikan golongan pertengahan turut berkongsi bebanan cukai itu. Malah, perbuatan ‘liat’ atau mengelak pembayaran cukai merupakan satu masalah utama di Malaysia iaitu hanya seorang daripada setiap 10 orang yang benar-benar membayar cukai. Angka ini ternyata jauh lebih rendah berbanding mana-mana negara berpendapatan sederhana lainnya serta ekonomi berpendapatan tinggi yang mahu diikuti oleh Malaysia.

Walaupun GST secara amnya dianggap sebagai cukai regresif kerana mengenakan cukai sama ke atas golongan miskin dan kaya, namun impaknya terhadap golongan miskin telah diminimumkan dengan memastikan barangan makanan seperti beras, buah-buahan segar, roti, daging dan sayur-sayuran dikecualikan daripada cukai berkenaan.

Kenaikan harga tahunan sebagaimana diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP), hanya melepasi paras 3.0 peratus sebanyak dua kali sejak Najib mengambil alih pentadbiran. Masalah politik itu timbul berikutan hakikat bahawa makanan dan minuman yang merupakan komponen IHP, ternyata meningkat jauh lebih pantas.

PEMBAHARUAN BIROKRATIK

Sejurus selepas menjadi perdana menteri, Najib melancarkan kempen untuk memperbaharui birokrasi Malaysia dengan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Paras pencapaian tahunan terhadap KPI yang boleh diukur ini, kemudiannya disahkan secara bebas oleh Pricewaterhouse Coopers (menerusi kaedah yang diteliti oleh panel pakar antarabangsa) dan disiarkan setiap tahun sejak 2011.

Namun, walaupun kerajaan melancarkan usaha pembaharuan utama pentadbiran ini dengan tahap menyokong atau menyukainya yang tidak dilihat sejak pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein,  tumpuan rakyat Malaysia sebaliknya lebih kepada perkara berbeza.

Pada Mei 2015, akhbar Malay Mail memaparkan keputusan tinjauan pantas yang menunjukkan rakyat Malaysia secara amnya tidak menyedari mengenai KPI atau bidang tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Sebahagian besar responden juga tidak menonton ucapan Najib secara langsung di televisyen mengenai perkara itu pada tiga hari sebelumnya.

Apa yang bahaya, ketiadaan minat itu akan menjejaskan usaha pembaharuan berkenaan. Ini kerana biarpun dirangka dengan betul, KPI sebenarnya mengandungi banyak manfaat manakala yang dirangka secara salah boleh mengundang keadaan sebaliknya.

Pandangan masyarakat sememangnya amat penting. Apakah KPI sedia ada itu telah dirangka dengan tepat? Apakah para menteri cukup bimbangkan impak politik sekiranya mereka terbukti gagal? Rakyat Malaysia ternyata tidak bertanyakan pertanyaan sedemikian.

KELEMAHAN

Sudah pasti, ekonomi Malaysia masih mengalami beberapa kelemahan sistemik yang serius. Antaranya produktiviti yang rendah, kekurangan perumahan mampu milik dan hutang isi rumah yang tinggi.

Bagaimanapun, ada petunjuk positif yang dicatatkan. Contohnya, walaupun negara membangun lain mencatat tahap produktiviti lebih tinggi namun produktiviti pekerja Malaysia meningkat pada kadar lebih pantas.

Bagi hutang isi rumah pula, adalah adil untuk menyatakan walaupun ia pada paras agregat, aset isi rumah masih mampu  dipertahankan secara konsisten pada paras lebih dua kali ganda. Dalam erti kata lain, isi rumah Malaysia lebih selesa dan positif dari segi aset.

PEMBERIAN PUJIAN SEWAJARNYA

Sementara itu, ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan pada kadar yang mengatasi purata antarabangsa. Ia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, lebihan akaun semasa yang meningkat dan pelaburan turut menokok sebanyak 7.4 peratus. Angka terbaharu menunjukkan inflasi terkawal dengan IHP meningkat hanya 3.2 peratus pada Julai lepas.

Perkara utama lain yang perlu dibangkitkan adalah, Najib tidak diberi pujian sewajarnya.

Realitinya, di bawah pentadbiran beliau, dasar-dasar makroekonomi Malaysia telah meluas secara ketara. Langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST merupakan wajar serta penting. Perkara sama juga boleh disebut apabila merujuk  penyertaan Malaysia dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasifik dengan Amerika Syarikat kemudiannya bertindak keluar.

Malah, hakikat bahawa dasar-dasar tidak popular itu diambil selepas keputusan dua pilihan raya umum (pada 2008 dan 2013) yang menyaksikan kedudukan pembangkang lebih kukuh, juga menunjukkan keazaman politik yang lazimnya sukar dilihat dalam diri kebanyakan pemimpin Malaysia.

Para pemerhati mungkin memberi reaksi buruk terhadap skandal korporat baru-baru ini, namun mereka juga perlu sedar untuk tidak membiarkan persepsi sedemikian mempengaruhi pandangan terhadap aspek lain prestasi ekonomi Malaysia.

0 comments:

Post a Comment