KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama persatuan belia dan Gabungan NGO hari ini telah menghantar memorandum kepada Stefan Priesner, Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei bagi menggesa mencari penyelesaian terbaik dalam krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.
Delegasi tersebut diketuai Timbalan Pengerusinya, YB Senator Khairul Azwan Harun menuntut sidang tergempar mengenai krisis kemanusiaan dan penempatan pasukan pengaman di Rakhine.
Tambahnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, pendirian Pemuda UMNO itu turut disuarakan ketika memorandum berkenaan diserahkan kepada Stefan Priesner pagi ini yang turut disertai beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Menurutnya, memorandum itu turut menyentuh bantuan kemanusiaan berterusan di Rakhine dan penyelesaian isu berkenaan.
“Pemuda UMNO meminta isu ini diambil tindakan segera dan kita percaya PBB sebagai pihak berwajib dapat menjadikan agenda ini sebagai keutamaan.
“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan NGO lain untuk bantuan kemanusiaan di Cox’s Bazar dan Rakhine untuk membantu pelarian di sana,” ujarnya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin semalam mendesak dengan tegas agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan satu sidang khas tergempar berkenaan krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.
Pada masa yang sama Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN turut menyokong gesaan Datuk Seri Najib Razak agar Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutters supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan konflik berdarah ini secara keseluruhan.
Dunia perlu mengambil langkah pantas bagi menyelesaikan kekejaman ke atas etnik Rohingya ini, sepertimana kita bertindak apabila krisis kemanusiaan dan kekejaman berdarah melanda mana-mana kumpulan insan sekalipun.
Sehubungan dengan itu, penyelesaian jangka panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta merta, bermula dengan sidang khas tergempar PBB.
Pemuda UMNO dan beberapa pihak lain juga akan mengadakan demonstrasi bantahan atas semangat solidariti dengan etnik Rohingya dan menghantar memorandum rasmi kepada Wisma PBB serta kepada kedutaan Myanmar selepas solat Jumaat, hari ini.
0 comments:
Post a Comment