Thursday 7 September 2017

Pemuda UMNO Desak PBB Adakan Sidang Khas Tergempar Konflik Etnik Rohingya Myanmar #tearsforRohingya


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini senada dengan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) , Majlis Belia Malaysia (MBM) , pertubuhan-pertubuhan belia serta pertubuhan-pertubuhan lain mendesak dengan tegas agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan satu sidang khas tergempar berkenaan krisis kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.Kami sebulat suara terus mengecam tindakan genosid dan tidak berperikemanusiaan oleh pihak dan institusi berkuasa ke atas etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang bertambah buruk sejak dua minggu lalu.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada 30 November 2016 pernah mendesak agar krisis ini diselesaikan segera kerana keadaan ini tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang mempunyai hati , akal dan jiwa.Namun krisis kemanusiaan ini terus keruh dengan kemuncaknya pada 25 Ogos lalu di mana lebih 400 rumah dibakar dan ramai etnik Rohingya yang dibunuh serta diseksa.Dalam masa dua minggu sahaja , hampir 125,000 pelarian Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar dan lari ke Bangladesh.Mengikut anggaran PBB sendiri , angka ini dijangka naik sehingga mencecah 300,000 pelarian dalam masa yang terdekat.

Kami menyokong gesaan YAB Perdana Menteri agar Setiausaha Agung PBB , Antonio Guterres supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan kekejaman ke atas etnik Rohingya ini , seperti mana kita bertindak apabila krisis kemanusiaan dan kekejaman berdarah melanda mana-mana insan sekalipun.

Oleh itu kami sekali lagi menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta merta , bermula dengan sidang khas tergempar PBB.Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan beberapa pihak lain juga akan mengadakan demontrasi bantahan atas semangat solidariti dengan etnik Rohingya dan menghantar memorandum rasmi kepada Wisma Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari esok.

0 comments:

Post a Comment