Tuesday 5 September 2017

Pemuda UMNO Seru Kerajaan Terus Lantang Suarakan Isu Penindasan Etnik Rohingya


KUALA LUMPUR, 5 Sep – Pemuda UMNO Melalui Biro Antarabangsanya hari ini menyeru Kerajaan Malaysia agar terus lantang dalam menyuarakan isu penindasan berterusan etnik Rohingya di Arakan oleh tentera dan pemerintah Myanmar.

Pengerusinya, Datuk Hazali Abu Hassan berkata, isu ini bukan hanya melibatkan diskriminasi, tetapi juga pembunuhan beramai-ramai yang terancang terhadap etnik Rohinya di Myanmar ini.

“Tekanan perlu dibuat dengan lebih hebat lagi di peringkat Asean, OIC dan melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Dunia luar perlu mendesak agar misi kemanusiaan dan agensi berita antarabangsa dibenarkan masuk ke wilayah konflik agar dapat menghantar bantuan dan membuat liputan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di sana,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO sentiasa vokal dalam menjuarai isu ini dan akan sentiasa menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam menangani isu kemanusiaan.

“Kita berharap agar isu penindasan dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di sana dapat dihentikan serta segala diskriminasi dapat diselesaikan secepat mungkin.”

Media antarabangsa melaporkan keganasan pasukan keselamatan Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya kali ini adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara itu dengan hampir 90,000 golongan berkenaan melarikan diri ke Bangladesh selain ada yang terperangkap di kawasan pergunungan tanpa sebarang bekalan asas.

Laporan media menyebut pasukan tentera Myanmar melancarkan operasi ke atas masyarakat minoriti itu selepas sekumpulan kecil militan Rohingya melakukan serangan terhadap pos kawalan sempadan pada Ogos lalu yang menyaksikan 12 anggota pasukan keselamatan Myanmar terbunuh.

0 comments:

Post a Comment