Friday 8 September 2017

Pemuda UMNO Tuntut Ketegasan PBB Bantu Rohingya


KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak segera menyelesaikan krisis penindasan terhadap etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Sehubungan itu, satu memorandum bantahan dihantar kepada Koordinator Residen PBB di Malaysia, Stefan Priesner, pagi ini di Wisma PBB, bagi memberi tekanan terhadap organisasi itu dan pemerintah Myanmar.

Menyerahkan memorandum itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun bersama beberapa wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pertemuan dengan wakil PBB itu berlangsung kira-kira 40 minit berjalan lancar meskipun berlaku sedikit kekecohan apabila media tidak dibenarkan untuk menangkap gambar dan berada di hadapan pintu masuk Wisma PBB.

Mengenai intipati memorandum itu, Khairul Azwan berkata, pihaknya membangkitkan dua perkara untuk perhatian dan disusuli tindakan segera PBB.

"Pertama, PBB didesak untuk menganjurkan sesi sidang tergempar bertujuan membincangkan perkara teras berlakunya krisis kemanusiaan yang membelenggu etnik Rohingya di Rakhine sekali gus menyelesaikan isu itu sehingga hak mereka terbela.

"Kedua, PBB digesa menubuhkan operasi pasukan pengaman di Rakhine. Langkah ini bagi memastikan keselamatan dan keamanan dikekalkan selain memantau aliran bantuan untuk etnik Rohingya," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan di Wisma PBB di sini, hari ini.

Justeru, Khairul Azwan berharap, PBB sebagai sebuah organisasi dunia yang bertanggungjawab dalam isu kemanusiaan sejagat dapat memainkan peranan sebaik dan sepantas mungkin berhubung nasib etnik Rohingya yang ditindas.

Beliau juga mahu PBB menjadikan krisis membabitkan etnik Rohingya sebagai agenda penting organisasi itu.

"Cukuplah kesengsaraan yang terpaksa ditanggung etnik Rohingya di tanah air mereka. Banyak pembunuhan berlaku dan keadilan amat ditagih untuk menangani isu ini," katanya.

- Berita Harian

0 comments:

Post a Comment