Sunday 3 September 2017

Penduduk Gesa Batal Pembinaan Jalan Berkembar Pesisir Utara


GEORGE TOWN, 3 Sept – Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) hari ini menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk membatalkan cadangan pembinaan Jalan Berkembar Pesisir Utara (NCPR) dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

Pengerusinya Meenakshi Raman berkata gesaan itu dibuat selepas TBRA mengkaji Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi jalan berkembar itu.

Beliau berkata EIA sepatutnya telah menjalankan analisis yang sewajarnya untuk menjustifikasikan keperluan bagi pembinaan jalan tersebut tetapi ia telah mengabaikan untuk berbuat demikian.

“Opsyen seperti menambahbaik pengangkutan awam dan mod alternatif pengangkutan serta menaik taraf jalan sedia ada sepatutnya diambil kira sebagai sebahagian daripada opsyen,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Jalan berkembar sejauh 12 km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang meliputi, persimpangan bertingkat 4.6 km antara Air Itam dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong dan lebuh raya sepanjang 4.2 km antara Pesiaran Gurney dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Projek PTMP bernilai RM46 bilion untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuk LRT, Transit Aliran Massa, dan beberapa lebuh raya.

Bagaimanapun, Meenakshi mendakwa bahawa NCPR yang dicadangkan itu akan memberi kesan kepada ribuan penduduk yang tinggal di sepanjang Tanjung Bungah dan ia dijangka tidak dapat mengatasi kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Beliau juga mendakwa bahawa kajian persepsi yang dijalankan oleh perunding EIA mempunyai kecacatan serius kerana hanya 322 orang terlibat dalam kajian berhubung dengan NCPR dan juga kurangnya perundingan dengan penduduk paling terjejas akibat pembinaan jalan itu,” kata beliau.

Beliau berkata lebih 400 tandatangan telah dikumpul di kalangan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan NCPR yang membantah pembinaan jalan tersebut dan petisyen telah dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (DOE) pada 31 Julai dan turut dihantar kepada pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang bulan lepas.

Projek ketiga-tiga lebuh raya itu yang akan dilaksanakan oleh Zenith Consortium Sdn Bhd dilaporkan pada Mei tahun ini masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar.

0 comments:

Post a Comment