Saturday 30 September 2017

Perkembangan Mutakhir Beri Momentum Positif Kepada BN – PM


KUALA LUMPUR – Pelancaran MRT, kejayaan berganda dalam sukan SEA dan sambutan 60 tahun kemerdekaan memberikan momentum positif pada Barisan Nasional (BN) yang akan diteruskan dari semasa ke semasa, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Pelancaran sistem pengangkutan yang canggih, kejayaan berganda Sukan SEA dan sambutan 60 tahun kemerdekaan banyak mempengaruhi suasana yang memberi momentum positif kepada BN namun momentum yang positif ini akan diteruskan pada masa-masa selepas ini termasuklah pembentangan Bajet 2018,” katanya.

Beliau yang juga Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 mengakui pembentangan Bajet 2018 sangat dinantikan oleh rakyat.

“MT juga ada memberi beberapa pandangan dan cadangan tertentu yang akan dikaji lebih lanjut sebagaimana yang diterima dari semua pihak termasuklah rakyat biasa yang juga memberi cadangan kepada kerajaan.

“Bajet ini biasanya bajet seimbang dan ia bagi membuktikan komitmen kerajaan dan bukan bajet populis… kita mesti menjaga kebajikan rakyat,” ujar beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn malam ini.

Pembentangan Bajet 2018 dijangka akan dilaksanakan oleh beliau di Parlimen pada 27 Oktober hadapan.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa MT mengambil berat berkaitan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini.

“MT mengharapkan kerajaan bertindak secara tegas dan mengutamakan soal keselamatan pelajar-pelajar. Kerajaan juga akan umumkan sesuatu dalam Bajet nanti berhubung kedudukan maahad tahfiz dalam negara kita.”

Najib turut mengsahkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan berlangsung 5 Disember ini yang tentunya akan berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan yang positif.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa.

0 comments:

Post a Comment