Wednesday 13 September 2017

Rakyat P.Pinang Boleh Nilai Sendiri Sikap Pemimpin Negeri – Muhamad Farid


GEORGE TOWN, 13 Sept – Rakyat Pulau Pinang boleh menilai sendiri sikap pemimpin negeri yang masih berdiam diri terhadap permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar Lim Guan Eng meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa penahanan seorang exco kerajaan negeri adalah ‘penahanan haram’.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Farid Saad berkata pemimpin negeri itu yang terus membisu menunjukkan sikap orang yang tidak mahu mengakui kesilapan.

“Pemimpin baik adalah pemimpin yang sanggup mengaku kesilapan yang dibuat. Hanya pemimpin sombong saja yang tidak mengaku kesalahan dibuat. Ini dapat dinilai oleh masyarakat Pulau Pinang sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Petroleum 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata SPRM tidak akan sewenang-wenangnya membuat permintaan itu tanpa bukti yang kukuh.

Pada 25 Ogos lalu, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Lim untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataannya bahawa penahanan exco kerajaan negeri Phee Boon Poh sebagai ‘penahanan haram oleh SPRM’.

SPRM dalam kenyataan pada 5 Sept pula berkata suruhanjaya itu memutuskan untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap Lim yang enggan memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah itu.

Sementara itu Muhamad Farid yang juga Pengerusi Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang berkata kempen kesedaran keselamatan petroleum perlu kerana ramai dalam kalangan masyarakat yang masih memandang mudah terhadap perkara itu.

“Hari ini kita lihat masyarakat mengambil mudah tentang keselamatan di stesen minyak sebab itu berlakunya kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku. Ia boleh diubah sekiranya pengguna berubah sikap seperti tidak menggunakan telefon bimbit dan mematikan enjin kenderaan ketika mahu mengisi minyak,” katanya.

Program kesedaran anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama syarikat-syarikat minyak utama itu bertujuan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan rasa tanggungjawab bukan sahaja kepada pengusaha stesen minyak malah kepada masyarakat setempat termasuk pelajar.

0 comments:

Post a Comment