Thursday 14 September 2017

Sedih Sebab Anak-Anak Ini Dekat Dengan Saya – Shahrizat


KUALA LUMPUR, 14 Sept – “Saya terkejut apabila sampai di sini sebab anak-anak ini selalu datang ke rumah keluarga saya untuk bacaan Yassin… Saya sangat sedih kerana saya mengenali mereka secara dekat,” ujar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menziarahi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berikutan tragedi kebakaran awal pagi tadi.

Beliau gagal meneruskan kata-kata kerana terlalu sedih, manakan tidak anak-anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah inilah yang sering dijemput untuk mengalunkan bacaan Al-Quran apabila ada majlis di kediaman beliau.

Selain itu beliau turut mengumumkan bahawa Pergerakan Wanita UMNO akan membuka tabung bagi mengutip dana di kalangan ahli Wanita Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Sebagai permulaan saya akan menyerahkan RM5 ribu kepada pengusaha tahfiz ini bagi membantu keluarga yang terlibat. Hasil kutipan tabung pula akan diserahkan kemudian.

“Saya berharap, ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka. Saya juga dengan ini mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat dan berharap mereka bersabar dengan dugaan ini,” ujarnya lagi.

Dalam kejadian sekitar jam 5. 15 pagi tadi, api dipercayai bermula dari tingkat atas pusat tahfiz tiga tingkat itu yang menempatkan sebahagian pelajar dan ustaz yang sedang tidur.

Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, seramai 24 orang telah terkorban termasuk dua orang warden.

Ketika kejadian seramai 36 pelajar dan enam tenaga pengajar menginap di pusat tahfiz berkenaan.

0 comments:

Post a Comment