Thursday 14 September 2017

Serang Pelaburan Negara… Pembangkang Gagal Amalkan Politik Idea Dan Intelek


KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin membidas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali lantaran pemahaman beliau yang cetek mengenai aliran pelaburan negara sedangkan usaha perkukuh hubungan dua hala perlu dipuji, bukan dikeji.

Ini berikutan kenyataan media yang dibuat oleh Azmin bahawa Malaysia seharusnya tidak ‘menghantar’ wang rakyat ke luar negara sebagai respons kepada komitmen dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama membuktikan bahawa kita mampu melangkaui politik murahan dan terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia melalui kestabilan polisi ekonomi dan juga hubungan diplomatik yang utuh.

“Sudah tiba masanya pembangkang mengamalkan politik berteraskan idea dan intelek, bukan mengejar populariti dengan retorik dan kebencian,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, sebagai negara yang mengamalkan konsep ekonomi terbuka, Malaysia menerima dan juga membuat pelaburan dengan negara-negara luar.

“Pelaburan kita di Amerika Syarikat, atau mana-mana negara berekonomi besar yang lain adalah untuk kebaikan rakyat dan negara Malaysia.”

Jelasnya, pada tahun lepas sahaja, Malaysia telah menerima pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM47.2 bilion yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20% daripada tahun 2015 malah bagi separuh pertama tahun 2017, Malaysia mencatat aliran masuk bersih (FDI) bernilai RM25.3 bilion ke dalam pelbagai sektor terutamanya sektor perkhidmatan, pembuatan, dan perlombongan.

“Malaysia juga melakukan pelaburan di luar negara setiap tahun dalam kedua-dua jenis pelaburan iaitu pelaburan langsung (direct investment) dan pelaburan portfolio. Kedudukan pelaburan antarabangsa kita berjumlah RM1.7 trilion pada suku kedua tahun 2017 yang menunjukkan bahawa syarikat Malaysia telah melabur, memilik dan mendapat pulangan hasil daripada aset bernilai RM1.7 trilion dalam bentuk aset di luar negara,” katanya.

Terang beliau lagi, KWSP telah melabur hampir 7 bilion dolar Amerika ke dalam pasaran ekuiti Amerika Syarikat dengan penambahan sebanyak 3 hingga 4 bilion Dolar Amerika yang dijanjikan, KWSP dijangka terus mendapat manfaat daripada pelaburan daripada pasaran Amerika Syarikat yang cemerlang.

Kini sudah 20% daripada RM711 bilion aset di bawah pengurusan KWSP berada di luar negara yang menunjukkan kepelbagaian pelaburan mereka. 

0 comments:

Post a Comment