Saturday 9 September 2017

SKMM Sekat Permainan ‘Fight of Gods’


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan internet untuk mengambil tindakan menyekat laman sesawang yang menjadi platform pengedaran permainan dalam talian ‘Fight of Gods’ yang didakwa mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tindakan tersebut diambil selepas pihak penyedia platform iaitu ‘Steam’ gagal mematuhi tempoh 24 jam yang diberikan untuk menghalang daripada dimuat turun oleh pengguna.

“Tindakan yang dilaksanakan bagi melindungi pengguna selain memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan matlamat utama kerajaan, sebarang perilaku yang menggugat matlamat ini tidak akan dikompromi sama sekali oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, Jumaat.

Pada Khamis, Salleh dilaporkan berkata SKMM akan meminta penyedia platform permainan video ‘Fight of Gods’ untuk menghalang pautan muat turunnya kepada pengguna Malaysia dalam tempoh 24 jam.

Permainan ‘Fight of Gods’ diilhamkan daripada ‘Street Fighter’ dengan menonjolkan watak seperti ‘Jesus’ dan ‘Buddha’ sebagai karakter utama di mana pemain memilih wira mereka untuk mengalahkan lawan.

0 comments:

Post a Comment