Wednesday 27 September 2017

Tukar PM Dapat LRT ?


KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pemuda UMNO Pulau Pinang bukan sahaja sangsi malah turut mempertikaikan kenyataan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng kononnya pelaksanaan pelan induk pengangkutan negeri itu yang turut melibatkan pembangunan laluan transit aliran ringan (LRT) hanya boleh menjadi realiti dengan menukar perdana menteri.

Menurut Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim, janji Dap pada pilihan raya umum 2008 yang lalu untuk menghapuskan tol Sungai Nyior pun masih belum ditunaikan dan tol tersebut masih tegak berdiri sehingga ke hari ini.

“Bayangkan berapa lama tol Sungai Nyior tegak berdiri setelah mereka berjaya mengambil alih negeri ini pada pilihan raya umum 2008 yang lalu. Bukankah janji tersebut terkandung di dalam kempen mereka dan hari ini nampaknya mereka cuba menabur janji baru lagi.

“Bayangkan…dua penggal memerintah janji tersebut masih belum tertunai dan hari ini mereka nampaknya cuba menabur lagi janji baru. Pada saya tunaikanlah dulu janji lama itu. Kaedah dan pelaksanaanya terpulanglah kepada mereka. Lagi pun tinggal beberapa bulan sahaja lagi kita akan berdepan dengan pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Dilaporkan Lim Guan Eng semasa majlis makan malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Bayan Baru berkata projek menambak laut di Pulau Pinang mungkin tidak mendapat kebenaran kerajaan pusat, sekali gus mengganggu pelaksanaan pelan induk pengangkutan negeri itu yang turut melibatkan pembangunan laluan transit aliran ringan (LRT).

Ketika masalah kesesakan lalu-lintas Pulau Pinang belum dapat diatasi sepenuhnya beliau berkata, Guan Eng menggunakan satu lagi cara untuk mempengaruhi penduduk di negeri itu iaitu dengan pembinaan LRT.

“Satu-satunya cara untuk menjadikan ia kenyataan ialah menukar perdana menteri, kemudian baru kita boleh dapat kebenaran membina LRT. Kita tak ada pilihan kecuali menukar perdana menteri,” Guan Eng dipetik berkata demikian.

Rafizal seterusnya menegaskan janji baru kepada rakyat sekali lagi memperlihatkan Guan Eng berada dalam keadaan panik dan cemas untuk menarik sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau mentadbir negeri.

Katanya, dengan masalah banjir yang sehingga ke hari ini belum mencapai penyelesaian sepenuhnya, sudah pasti Guan Eng berada dalam keadaan terdesak sehingga beliau lupa kepada janji yang dibuat sebelum ini.

“Mungkin beliau lupa…jadi kita ingatkanlah balik. Tol Sungai Nyior masih lagi tertegak Yb Ketua Menteri…nak tunggu pilihan raya yang ke berapa untuk realitikan janji 2008? Takkanlah sehingga ke hari ini masih belum terjumpa kaedah yang terbaik dalam melaksanakan perkara berkenaan,” soalnya lagi.

0 comments:

Post a Comment