Friday 15 September 2017

Zahid-Najib Bincang Penubuhan Jawatankuasa Khas Sekolah Agama


Perbincangan terperinci akan dilakukan dengan Perdana Menteri dalam usaha merelisasikan penubuhan jawatankuasa khas bagi merangka panduan dan piawaian pengurusan sekolah agama di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ianya akan dibuat sebaik sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di tanahair yang dijangka malam ini.

” Saya akan jumpa beliau selewat-lewatnya pagi esok untuk memohon kebenaran pembentukan pasukan petugas khas yang tidak bertujuan mengambil alih kuasa kerajaan negeri,” katanya sebagai respon kepada Persatuan polis Johor melalui whatsapp dalam sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan di Kuala Lumpur, Jumaat.

Terdahulu, sebelum memulakan program, Zahid memohon agar semua peserta yang hadir bertafakur dan membacakan surah Al-Fatihah kepada 23 pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibukota yang terkorban semalam dalam kebakaran.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Mohamad Rashid Ibrahim.

Semalam Zahid dilaporkan berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah langkah kerajaan dalam menangani tragedi yang melibatkan sekolah agama berulang di masa depan.

Beliau turut mengumumkan jawatankuasa itu akan bermesyuarat pada hari Selasa minggu hadapan jika proses penubuhannya selesai.

Sementara itu, mengulas tentang punca kebakaran yang didakwa berlaku kerana sabotaj, Zahid berharap agar semua pihak tidak membuat spekulasi sehingga maklumat tepat dikeluarkan.

“Jangan membuat spekulasi sehingga laporan tepat dikeluarkan kepada umum,” kata beliau yang juga Menteri Dalam Negeri.

Pada awal pagi semalam, 23 orang termasuk pelajar dan guru pusat tahfiz di Keramat maut dalam kebakaran, bermula dari tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

Sementara itu laporan terkini mendakwa terdapat unsur khianat dari luar bangunan sehingga menyebabkan kebakaran tersebut berlaku.

0 comments:

Post a Comment