Wednesday 25 October 2017

Ahmad Zahid: Hormati Keputusan Pembahagian Kerusi Dan Calon PRU14


PUTRAJAYA, 25 Okt – Parti komponen Barisan Nasional (BN) harus menghormati keputusan pucuk pimpinan dalam menentukan pembahagian kerusi dan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau akan meneliti setiap calon yang dikemukakan oleh parti komponen dengan keputusan muktamad akan dibuat oleh Najib, selaku Pengerusi BN.

“Kerusi yang diperuntukan kepada sesebuah parti adalah lebih baik jika parti lain tidak ganggu walaupun hasrat itu baik.

“Kita tahu setiap parti komponen diberikan peluang berdasarkan kriteria namun kita harus menghormati lain agar tiada parti yang terguris,” katanya ketika diminta mengulas isu perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara Parti Progresif Penduduk (MyPPP) dan MIC dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands itu yang kini disandang bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Semalam, dilaporkan bahawa Kavyeas ingin bertemu dengan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagi berbincang mengenai isu calon di kerusi itu.

0 comments:

Post a Comment