GEORGE TOWN – Cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAP) dan juga hospital dalam pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam jelas menunjukkan Pulau Pinang tidak dianaktirikan kerajaan persekutuan.
Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ia sekali gus menepis dakwaan pakatan pembangkang yang sering kali menuduh kerajaan persekutuan tidak mendengar suara dan permintaan kerajaan negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).
“Dengan peruntukan untuk pembesaran LTAP, jelas membuktikan kerajaan persekutuan tidak mengabaikan Pulau Pinang. Jadi tidak timbul isu diketepikan dalam soal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Kilauan Emas bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bayan Lepas di sini hari ini.
Menerusi Bajet 2018, Pulau Pinang bakal menikmati peruntukan bagi pembesaran LTAPP, RM500 juta untuk pembinaan klinik pakar dan bangunan wad tambahan dengan 300 katil di Hospital Pulau Pinang (HPP) serta pembinaan Dewan Bedah baharu di Hospital Balik Pulau (HBP).
Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata menerusi bajet tersebut, peruntukan bagi pembesaran Hospital Balik Pulau dijangka akan memberi manfaat kepada 325,000 penduduk di daerah barat daya Pulau Pinang.
“Pada masa ini hospital itu hanya mempunyai 82 katil dan beroperasi tanpa doktor pakar. Ini telah menyebabkan kesan domino dengan ramai orang yang terpaksa pergi ke HPP, yang sudah terkenal sebagai hospital rujukan bagi wilayah utara untuk Semenanjung Malaysia, menyebabkan kesesakan lanjut,” katanya.
Dr Hilmi berkata justeru, peruntukan berkenaan akan dapat mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di HPP.
Sementara itu Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yussof Latiff turut memuji langkah kerajaan yang memberikan peruntukan bagi LTAP dan hospital negeri ini yang disifatkan sebagai khabar gembira buat rakyat Pulau Pinang.
“Peruntukan yang diberi untuk menaik taraf lapangan terbang ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang berlaku di lapangan terbang selain dapat menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku di situ,” katanya.
Selain itu Mohd Yusoff berkata pemberian peruntukan untuk menaik taraf HPP yang merupakan antara hospital tertua di Malaysia juga adalah berita gembira bukan sahaja untuk rakyat negeri ini malahan juga di seluruh negeri utara tanah air.
0 comments:
Post a Comment