Sunday 29 October 2017

Bajet 2018: Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50


KUALA LUMPUR – Berikut ialah intipati Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat pada Jumaat 27 Oktober 2017.

Bajet 2018 bertemakan Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50.

Bajet itu bertemakan lapan teras utama iaitu:

1. Merancak pelaburan perdagangan dan industry.
2. Menuju Aspirasi TN50.
3. Mengungguli pembangunan pendidikan, latihan dan kemahiran serta bakat.
4. Memacu pembangunan inklusif.
5. Mengutamakan kesejahteraan rakyat dan peluang menjana pendapatan.
6. Mempersiaga Revolusi Perindustrian Keempat dan ekonomi digital.
7. Meningkatkan kecekapan dan penyampaian GLC dan perkhidmatan awam.
8. Mengimbangi Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.

Bajet 2018 memperuntukkan RM280.25 bilion, menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM260.8 bilion peruntukan Bajet 2017 yang dibentangkan.

Ketika membentangkannya, Najib berkata sebanyak RM234.25 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“Ini tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion,” katanya.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM79.15 bilion adalah untuk emolumen dan RM33.62 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan, katanya.

Beliau berkata sebanyak RM119.82 bilion adalah untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap manakala perbelanjaan lain pula diperuntukkan RM1.08 bilion dan RM577 juta untuk pembelian aset.

Di bawah peruntukan pembangunan, Najib berkata sektor ekonomi menerima agihan tertinggi iaitu sebanyak RM26.34 bilion.

Sektor sosial menerima sejumlah RM11.72 bilion, sektor keselamatan diperuntukkan RM5.22 bilion dan sektor pentadbiran am RM2.72 bilion, katanya.

Najib berkata kutipan hasil kerajaan Persekutuan bagi tahun 2018 dijangka mencecah RM239.86 bilion.

“Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dan memastikan kedudukan kewangan kerajaan terus kukuh serta paras hutang kekal rendah bagi tempoh jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Najib berkata Bajet 2018 yang digubal adalah yang paling penting kerana ia merupakan satu rumusan kepada prakarsa-prakarsa yang telah memacu ekonomi negara semenjak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009.

“Ia sebetulnya juga menjadi antara ‘report card’ utama kepada rakyat dan kerajaan pimpinan saya, sepanjang dua penggal tempoh pentadbiran kerajaan ini,” katanya.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM79.15 bilion adalah untuk emolumen dan RM33.62 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan, katanya.

Antara Inti pati Bajet 2018:

*Peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah RM2.7 bilion yang memanfaatkan hampir 400,000 peminjam.

*Peruntukan RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.

*Pelaburan sektor awam dijangka mencecah RM109 bilion

*Galakan cukai bagi Hab Prinsipal akan dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2020

*Kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk dana strategik berimpak tinggi di bawah MIDA

*RM7 bilion akan diperuntukkan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan, iaitu RM5 bilion untuk modal kerja dan RM2 bilion dengan 70 peratus jaminan kerajaan untuk sektor perkhidmatan termasuk Revolusi Perindustrian 4.0

*Untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan penggajian pekerja asing, RM1 bilion akan disediakan dengan pinjaman kepada syarikat-syarikat, 70 peratus dijamin oleh kerajaan

*RM1 bilion akan ditambah dalam saiz Dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah, menjadikan saiz dana RM2.5 bilion

*RM200 juta diperuntukkan bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp

*Hampir RM82 juta diperuntukkan bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi

*RM500 juta peruntukkan untuk TEKUN

*RM200 juta peruntukan untuk Amanah Ikhtiar Malaysia, menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan dana mencecah RM2.7 bilion

*Menambah RM1 bilion kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah.

*Peruntukan RM30 juta disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan beberapa perkara termasuk mempromosi Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan, termasuk IVF dan Kardiologi Asia dan memperkenalkan program Flagship Medical Tourism Hospital.

*Pembinaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan bermula Januari 2018.

*Mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.

*Pulau Pangkor, Perak diisytiharkan Pulau Bebas Cukai, tetapi tidak termasuk barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.

*Tahun 2020 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM.

*RM2 bilion diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

*Membangunkan Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara.

*Peruntukan RM1bilion diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi.

*RM45 juta peruntukan untuk mewujudkan satu sistem kawalan biometrik bagi memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres.

*Menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

*Pembinaan baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.

*Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) diperkenalkan dengan memberi Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham PNB kepada anak Malaysia yang lahir mulai 1 Jan 2018 sehingga 2022.

*Sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk pendidikan generasi TN50, termasuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mempertingkatkan modul Computer Science termasuk program Coding dan menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21.

*Peruntukan RM2.2 bilion bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

*Membina 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara dengan kos RM112 juta.

*Peruntukan RM61.6 bilion disediakan untuk sektor pendidikan termasuk RM654 juta bagi membina empat pra sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme, 48 sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional serta sebuah pusat matrikulasi.

*Pelanjutan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Dis 2018.

*Peruntukan RM4.9 bilion untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.

*Peruntukan RM6.5 bilion untuk penyediaan infrastruktur asas terutama di luar bandar.

*Peruntukan RM1 bilion melalui SKMM bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.

*Peruntukan RM300 juta untuk program NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township dan Mobile CTC.

*Mengembalikan wang ses yang telah dibayar peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit, dari 2010 hingga 2016.

*Peruntukan RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia , hampir RM9 bilion untuk Polis Diraja Malaysia dan lebih RM900 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

*Peruntukan RM3 bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan.

*Peruntukan RM720 juta bagi pembinaan 11,000 ibu pejabat dan enam balai polis serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.

*Pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM (PPA1M-PDRM)

*Peruntukan RM250 juta kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.

*Peruntukan RM2.5 bilion, iaitu yang tertinggi pernah diberikan untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA.

*PNB membuat pengagihan khas sejumlah RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

*Bantuan sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi.

*Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000.

*Peruntukan RM3.9 bilion subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

*50 Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan diperluaskan kepada 3,000 KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.

*Mulai 1 Jan 2018, kutipan tol di Batu Tiga Shah Alam dan Sungai Rasau, Selangor, tol di Bukit Kayu Hitam,Kedah dan tol di Eastern Dispersal Link, Johor dimansuhkan.

*Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan, memberi pilihan kepada majikan mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen.

*Peruntukan RM2.2 bilion untuk merancakkan usaha pemilikan rumah untuk rakyat termasuk membina Projek Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan program PR1MA yang berharga RM250,000 ke bawah.

*Peruntukan RM27 bilion untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

*Peruntukan geran sepadan RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.

*Peruntukan RM5 bilion dibawah Skim PembiayaanTeknologi Hijau bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau.

*Melaksanakan Program Non-Revenue Water untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos RM1.4 bilion.

*Peruntukan RM1.7 bilion kepada warga emas, OKU dan kanak-kanak.

*Untuk penjawat awam, kenaikan pangkat time-based kali kedua untuk kumpulan pelaksana bagi tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.

*Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang awal sejam, manakala suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan berbuat demikian dengan syarat suami dan isteri bekerja di lokasi berdekatan.

*Bayaran khas one-off RM1,500 kepada 9,800 ketua kampung dan Tok Batin dengan RM1,000 dibayar pada Jan 2018 dan selebihnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

*Lebih 65,000 imam, bilal, guru KAFA, guru takmir dan tok siak mendapat bayaran khas RM1,500 dengan RM1,000 dibayar pada Jan 2018 dan selebihnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

*Bayaran khas RM1,500 kepada semua penjawat awam iaitu RM1,000 pada awal Jan 2018 dan RM500 menjelang Hari Raya Aidilfitri.

*Pesara kerajaan menerima bayaran khas RM750 iaitu RM500 dibayar pada Jan 2018 dan RM250 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

0 comments:

Post a Comment