Monday 2 October 2017

Bantuan Pasca Banjir Terus Di Hulur


Georgetown - Selepas selesai melakukan Misi Bantuan Pasca Banjir Utara 2017 di Perlis dan Kedah yang bermula Jumaat lalu , pasukan sukarelawan Team Salute Malaysia meneruskan lagi misi bantuan mereka di negeri ini semalam yang dilakukan di sekitar Jelutong.

Misi yang diketuai Presiden Team Salute Malaysia , Datuk Rizal Mansor mengunjungi penduduk di sekitar Jalan P. Ramlee dan sekitar Datuk Keramat yang terjejas akibat banjir Jumaat lalu.

Dalam lawatan itu , pasukan sukarelawan turut menyerahkan bantuan berupa makanan dan keperluan asas selain wang tunai bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Rizal berkata , misi yang dilakukan itu adalah cetusan daripada isteri Perdana Menteri , Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini melihat sendiri kesengsaraan mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di Kedah minggu lalu.

"Seramai 400 sukarelawan berjaya dikumpulkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di kawasan utara baru-baru ini.

"Selain menyerahkan sumbangan , pasukan sukarelawan bergotong-royong melakukan kerja-kerja pembersihan selain memperbaiki struktur rumah yang rosan dan mengecat semula bangunan yang terjejas," katanya ketiak ditemui disini semalam.

Turut hadir , Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang , Rafizal Abdul Rahim dan Naib Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang , Jasmin Nordin.

Rizal berkata , pihaknya turut menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada orang ramai yang mewakilkan pihaknya untuk menyampaikan kepada mangsa-mangsa banjir.

Katanya , rata-rata penduduk yang ditemui di Jelutong melahirkan rasa terharu apabila menerima kunjungan sukarelawan team Salute Malaysia kerana mereka sangat menantikan bantuan dan perhatian akibat bencana yang dihadapi.

"Mereka melahirkan rasa sedih apabila tiada pimpinan daripada kerajaan negeri yang mempedulikan nasib mereka dan tidak langsung turun padang ketika banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Kita berharap dengan misi yang dilakukan ini dapat meringankan beban mereka sekaligus memberikan keinsafan kepada kita mengenai keperihatan hidup yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat," katanya. 

0 comments:

Post a Comment