Sunday 22 October 2017

'Cukup-Cukuplah Guan Eng'


GEORGETOWN: Kerajaan negeri digesa menghentikan semua projek pembangunan di lereng bukit bagi memastikan kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, tidak berulang.

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid, berkata secara kebetulan pihaknya menghantar usul Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan perkara terbabit, minggu lalu.

"Kita sudah lama menyedari isu pembangunan di lereng bukit ini. Malah, setiap kali sidang DUN sejak 2008, kita ulang perkara sama.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, terus membisu. Pada mereka, perkara ini adalah tidak serius tetapi semalam kita lihat alam marah pada kita.

"Saya harap kali ini Speaker terima usul kita dan semua wakil rakyat daripada parti lain turut menyokong. Jangan takut kerana ini adalah untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tapak runtuhan tanah di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad dan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, Hng Chee Wey.

Sidang DUN Pulau Pinang yang akan bermula pada 2 November ini dijangka hangat dengan isu semasa berkaitan pembangunan di lereng bukit.

Sementara itu, Muhamad Farid berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri menerima kejadian ini dengan hati terbuka dan kembali memperbetulkan keadaan.

"Dulu banjir salahkan hujan, salahkan Tuhan, malah salahkan BN. Saya rasa sudah tiba masanya mereka terima dan betulkan keadaan. Cukup-cukuplah Guan Eng," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment