Tuesday 17 October 2017

Dap Hipokrit : Bila Nak Desak Guan Eng Letak Jawatan?


 TASEK GELUGOR, 17 Okt – Zairil Khir Johari telah meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang kerana kemerosotan pasukan itu, Numan Afifi juga telah meletak jawatan dalam Dap kerana keterlibatannya sebagai pejuang LGBT yang dibimbangi merosakkan nama parti, tetapi bilakah Ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng mahu meletakkan jawatan kerana telah pun didakwa atas salah laku rasuah dan gagal mentadbir negeri dengan baik, soal Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham Abdullah.

Jelas beliau, jika sebelum ini desakan meletak jawatan juga sering dilaungkan oleh pemimpin Dap kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) malah Perdana Menteri juga sering didesak tetapi apabila terkena batang hidung sendiri mengapa mula timbul sikap pilih kasih dan desakan yang sama tidak dibuat terhadap Guan Eng.

“Sebenarnya inilah sikap Dap yang hipokrit dan pilih kasih malah ini juga menggambarkan betapa ‘kebalnya’ Guan Eng sehingga semua ahli jawatankuasa CEC tidak berani bersuara… seharusnya ahli jawatankuasa CEC boleh mencadangkan agar Guan Eng bercuti atau meletak jawatan tetapi nampaknya mereka hanya boneka buat Dap.

“… mungkin kerana itu jugalah isu pemilihan semula CEC sehingga kini tidak selesai disebabkan masih belum jumpa ‘puppet’ yang sesuai untuk diletakkan di posisi masing-masing.

“Dalam kes Guan Eng, yang jelas kes jenayah mereka pertahankan, tak perlu letak jawatan atau bercuti, tapi dalam kes sivil (yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak), tidak ada pun dinamakan perdana menteri sebagai defendan, tiba-tiba mereka suruh perdana menteri letak jawatan. Nampak betapa mereka mempolitikkan isu ini dan mereka bercakap tidak konsisten…pilih kasih,” ujarnya.

Ujar Nashrol, Guan Eng seharusnya sudah lama bercuti tetapi sikap kuku besi dalam Dap telah menghalalkan segala cara.

Dilaporkan, Guan Eng sedang berhadapan dengan skandal banglo mewah yang dikatakan telah dibeli di bawah harga pasaran dengan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pembelian banglo pada harga RM2.8 juta itu menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac tahun lalu bahawa ia dibeli pada harga di bawah nilai pasaran.

Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan beberapa lot tanah termasuk tanah Taman Manggis di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Seperkara lagi jelas beliau, berkemungkinan Guan Eng tidak mahu melepaskan jawatannya kerana masih belum berjumpa pengganti yang boleh diperalatkan kerana sekiranya Guan Eng letak jawatan, orang yang paling layak menggantikan tempatnya adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Rashid Hasnon dan P. Ramasamy.

“Dulu Guan Eng pernah menyuarakan harapan agar Pengerusi Dap negeri itu Chow Kon Yeow dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya dia dipenjara.

“Di sini mula timbul tanda tanya mengapa bukan timbalan ketua menteri yang dilantik? Kita faham juga Rashid tidak dipilih kerana Rashid adalah dari PKR tetapi P. Ramasamy adalah ahli Dap… mungkin kerana P. Ramasamy bukan sebangsa dengannya jadi dia ‘hilang kelayakan’ sehingga terpaksa memilih Kon Yeow sebagai pengganti.

“Ini juga antara persoalan yang sehingga kini Guan Eng tidak mampu memberi jawapan. Oleh itu nasihat saya kepada para pengundi Pulau Pinang, fikirlah secara matang… adakah Dap masih layak untuk diberi mandat pada pilihan raya akan datang?” soalnya lagi.

0 comments:

Post a Comment