Monday 2 October 2017

DAP Lebih Suka Alih Isu Daripada Fokus Selesai Masalah- Syed Hafiz


ALOR SETAR, 2 Okt – Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Kedah, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilihat seringkali cuba mengalih isu berkaitan masalah dalaman pentadbiran negeri itu dengan mencipta isu baru termasuklah mengenai pembinaan LRT di Pulau Pinang yang tidak akan menjadi kenyataan atas alasan tidak mendapat persetujuan daripada kerajaan persekutuan.

Jelas beliau, Guan Eng sebenarnya mahu menutup kegagalannya dalam menangani isu masalah setempat bagi rakyat di Pulau Pinang termasuklah dalam masalah banjir.

“Guan Eng seharusnya mencermin diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain… kelulusan yang tidak diberi oleh kerajaan pusat adalah kerana ia akan memberi impak negatif kepada nelayan.

“Harus diingat, kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendahulukan rakyat dan bukannya seperti pembangkang yang sering memikirkan kepentingan mereka sendiri tanpa menghiraukan nasib rakyat,” jelasnya.

Tegasnya, jika Guan Eng mengatakan harus menukar Perdana Menteri baru Pulau Pinang dapat LRT maka ketua menteri negeri itu juga harus ditukar baru masalah banjir dan rasuah di negeri itu dapat diatasi.

“Sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Dap serius mahu menangani masalah banjir, mereka boleh meminta tunjuk ajar daripada jiran berdekatan iaitu Kedah kerana walaupun Kedah mempunyai sumber pendapatan yang jauh lebih kecil berbanding Pulau Pinang namun ternyata dapat menangani masalah banjir dengan lebih baik.”

Jelas beliau, sejak bulan Januari lagi kerajaan negeri Kedah telah membuat persediaan awal dengan mengadakan mesyuarat bencana negeri bagi menyusun gerak kerja jika berlaku banjir.

“Persediaan awal ini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera apabila banjir berlaku. Lagi pula banjir kali ini memang telah dijangka kerana projek tebatan banjir yang sedang dibina dan projek perluasan sungai aliran utama.

“Jika dibandingkan dengan banjir besar pada tahun 2010 yang melibatkan 33,414 mangsa, keadaan banjir yang berlaku sekarang ini hanya melibatkan 3,439 mangsa sahaja,” ujarnya.

Tambah Syed Hafiz, Guan Eng juga harus merenung kembali kegagalannya menyalurkan kewangan RM22.09 juta yang menjadi punca kegagalan Jabatan Pengaliran dan Saliran dalam merangka serta mengurus perparitan dan menjawab persoalan bagaimana peruntukan kewangan yang telah diberikan oleh kerajaan pusat bagi menangani masalah banjir digunakan.

“Daripada Guan Eng membazir RM305 juta hanya untuk kos kajian terowong dasar laut, adalah lebih baik wang tersebut digunakan untuk mengatasi masalah banjir.

“Bagi saya, rakyat Pulau Pinang sebenarnya sudah semakin mengenali siapakah Lim Guan Eng maka peralihan isu ini tidak akan dapat menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Dap,” bidasnya lagi.

0 comments:

Post a Comment