Thursday 19 October 2017

DAP Pilih Kasih Bantu Mangsa Banjir ?


NIBONG TEBAL – Ha­nya sebuah rumah di Kampung Pangkalan, Sungai Bakap di sini didakwa menerima bantuan daripada kerajaan DAP Pulau Pinang selepas banjir kilat me­landa kawasan itu, awal September lalu.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai berat sebelah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Bin Ismail berkata, pihaknya difahamkan terdapat sembilan rumah di kampung berkenaan yang terjejas dan mengalami kerugian.

Menurutnya, syarat ditetapkan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk memohon bantuan bernilai RM400 itu sukar dipenuhi penduduk kampung berkenaan le­bih-lebih lagi majoriti daripada mereka merupakan warga emas.

“Kami menerima banyak aduan daripada orang kampung berhubung bantuan tersebut dan percaya ramai lagi mangsa di kawasan lain tidak menerimanya sedangkan itu hak mereka.

“Kerajaan negeri perlu memudahkan lagi sistem permohonan bantuan banjir, warga emas tidak tahu hendak mengikuti prosedur ditetapkan. Apa salahnya jika berikan kepada semua,” katanya ketika ditemui selepas program Setulus Kasih Seikhlas Rasa anjuran Puteri UMNO Bahagian Sri Aman di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin.


Dalam program itu, sebanyak 115 mangsa banjir menerima sumbangan barangan keperluan ha­rian seperti minyak masak, minuman dan biskut.

Pada 9 September lalu, hampir 20 rumah di kawasan berkenaan rosak akibat banjir kilat dan kejadian sama berulang beberapa hari kemudian hingga menyebabkan ramai mangsa kerugian harta benda.

Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas kejadian banjir itu memaklumkan bantuan RM400 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah dan kenderaan. - utusan online

0 comments:

Post a Comment