GEORGETOWN - Kehadiran hanya seorang wakil rakyat DAP pada forum bagi membincangkan masalah banjir dan tanah runtuh di Pulau Pinang anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan di sini, hari ini disifatkan sebagai tanda tidak peduli mereka terhadap isu yang membelenggu rakyat.
Hanya Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey hadir pada forum dan dialog yang dihadiri kira-kira 200 hadirin anjuran Penang Forum itu.
Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, pemimpin-pemimpin DAP sepatutnya hadir pada forum itu kerana Penang Forum telah membuat analisis, mengumpul data serta mengetengahkan kaedah-kaedah dan jalan penyelesaian terhadap isu itu.
“Namun pihak yang sepatutnya mengambil jalan untuk mengatasi permasalahan ini tidak hadir.
"Tidak ramai pemimpin (DAP) yang hadir pada forum ini. Oleh sebab itu saya nampak pendirian Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menepis isu tanah runtuh yang berlaku di Tanjung Bungah baru-baru ini sebagai kesilapan pemaju dari sudut teknikal. Mereka tak mahu akui (kesilapan kerajaan negeri)," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog itu.
Pemimpin BN yang hadir pada forum itu selain Jahara ialah Adun Pulau Betong Datuk Muhamad Farid Saad; Adun Teluk Bahang Datuk Shah Headen Ayoob dan Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow, manakala wakil daripada PKR ialah Adun Penanti Dr Norlela Ariffin; Adun Machang Bubok Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin .
Jahara berkata, kerajaan negeri perlu melihat aspek pembangunan, penguatkuasaan dan pekerja berkaitan masalah itu secara menyeluruh dan tidak boleh dianggap sebagai kemalangan atau bencana semata-mata.
Beliau berkata, apa yang dibentangkan oleh Penang Forum itu adalah isu yang amat besar dan ia melibatkan kekurangan penguatkuasaan dan kerajaan negeri perlu memandang serius perkara itu.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan di Tanjung Bungah di sini pada 21 Oktober lepas meragut 11 nyawa.
Terdahulu dalam sesi dialog itu, Jahara berkata pihaknya akan mengemukakan usul pada persidangan Dun bulan depan bagi meminta kerajaan Pulau Pinang menghentikan semua pembangunan di bukit dan lereng bukit.
Soo Huey pula berkata, banjir kilat yang melanda Pulau Pinang pada 15 September lepas adalah disebabkan hujan lebat luar biasa dan meminta masyarakat untuk mengakui perkara itu. - Bernama
0 comments:
Post a Comment