Friday 20 October 2017

Jasa Tun Abdullah Di Kenang


KUALA LUMPUR 19 Okt. - Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dipilih sebagai penerima Anugerah Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) 2017 dalam majlis Istiadat Penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), de­kat Serdang, di sini, hari ini.

Penganugerahan berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa kepada wakil Tun Abdullah iaitu Nori Abdullah, berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.


Ali berkata, Felo Intan adalah anugerah berprestij yang diberikan kepada tokoh-tokoh ternama sebagai tanda penghormatan awam dan penghargaan kerajaan atas sumbangan mereka kepada negara khususnya dalam perkhid­matan awam.

“Pengorbanan lebih 30 tahun beliau dalam perkhidmatan awam melayakkan beliau untuk menerima anugerah tersebut sebelum terlibat dalam dunia politik.

“Kepemimpinan yang ditunjukkan beliau amat terserlah semasa memegang jawatan sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD) sepanjang tempoh tersebut terutama selepas terjadinya insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969,” katanya ketika berucap dalam majlis istiadat penyerahan itu, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman serta barisan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.

Tun Abdullah yang mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam selepas tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1961 telah mendedikasikan segala usaha dan jiwa raganya kepada negara hingga 1978.

Dalam tempoh tersebut, beliau diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak untuk membantu mengawal ketenteraman awam dan memastikan kelicinan pentadbiran negara menerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969.

Sementara itu. Nori menyifatkan penghargaan tersebut adalah hadiah untuk bapanya sepanjang berada dalam perkhidmatan awam. - utusan online

0 comments:

Post a Comment