Sunday 1 October 2017

Jentera UMNO Jangan Terperangkap Permainan Politik Sentimen, Persepsi Pembangkang – Annuar


MUAR, 1 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berpandangan bahawa UMNO tidak perlu terbawa-bawa dengan pendekatan yang digunakan oleh pembangkang yang cuba memancing dan mengalihkan fokus jentera dan ahli UMNO dengan isu-isu yang sengaja dibangkitkan oleh pembangkang terhadap pimpinan UMNO dan kerajaan.

Justeru itu menurut beliau, program siri jelajah perjuangan 4All ini tidak akan memberikan focus untuk menjawab segala isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang, sebaliknya akan lebih menumpukan terhadap isu-isu kejayaan pentadbiran kerajaan serta menerangkan dasar dan roh perjuangan parti.

“Apabila kita terlalu fokus untuk menjawab isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang, maka kekuatan UMNO akan hilang. Saya rasa sekarang sudah sampai masanya untuk kita bercerita tentang kekuatan UMNO dan Barisan Nasional yang mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dan permufakatan gabungan 13 parti politik yang telah teruji, di mana ianya penting bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Sebab itu melalui siri jelajah penerangan ini, akan terus menumpukan kepada untuk mengenengahkan cerita kejayaan pentadbiran kerajaan selain daripada kita terus menyampaikan mesej dasar dan perjuangan parti.

“Tujuan kita mengadakan program seperti ini adalah kerana kita tidak mahu terbawa-bawa pendekatan yang digunakan oleh pembangkang yang memancing kita berdasarkan kepada isu. Apabila kita fokuntuk menerangkan kepada ahli-ahli UMNO, terutamanya rakyat tentang hal ehwal kejayaan pentadbiran kerajaan hari ini dan juga tentang dasar perjuangan parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di hadapan pemberita di Bangunan UMNO Bakri ketika hadir dalam program Majlis Bicara Dan Sesi Dialoq Perjuangan 4All di sini hari ini.

Tambah Annuar lagi, perbincangan dan wacana berhubung perkara asas seperti strategi Dap yang bukan semata-mata mahu  memerintah, tetapi apa yang penting bagi mereka adalah untuk menguasai siapa yang memerintah.

“Ramai di antara kita mungkin tidak perasan bahawa apa yang cuba ditawarkan oleh pakatan harapan itu sebenarnya adalah sebuah kerajaan yangdikuasai oleh Dap. Perkara ini tidak boleh mereka nafikan, hatta sekarang ini pun, yang menguasai pakatan harapan adalah Dap.

“Kita boleh lihat ketika Datuk Seri Nizar Jamaluddin daripada Pas menjadi Menteri Besar Perak pun, yang menguasai adalah Dap. Di Selangor pun yang menguasai pentadbiran adalah Dap. Sebab itu kita mesti perjelaskan kepada rakyat, Dap cuba untuk menonjolkan Dr Mahathir versus  Datuk Seri Najib, sedangkan hakikatnya yang menguasai di belakang tabir adalah Dap.

“Jadi perbincangan dan wacana atas perkara asas ini perlu kita ketengahkan. Jika tidak, setiap kali kita mengadakan program, kita hanya akan menjawab isu sahaja, sehingga kita terlupa dalam soal politik dan pembentukkan kerajaan, ianya bukan soal isu. Siapa pun yang memerintah tetap akan ada isu. Dap yang memerintah Pulau Pinang, isu rasuah ketua menteri mereka pun tidak dapat selesaikan.

“Jadi isu akan tetap timbul dan terus ada baik siapa pun memerintah. Tetapi untuk menjadikan sesebuah kerajaan itu baik atau pun sebaliknya, adalah dari segi factor adakah kerajaan itu stabil, mempunyai dasar yang kukuh dan mempunyai agenda yang jelas dan kerajaan itu boleh menjamin satu system politik yang mantap.

“Kesedaran inilah yang kita perlu bawa di dalam siri-siri program seperti ini supaya jentera UMNO dan BN tidak terperangkap dalam politik sentiment, politik persepsi dan politik isu yang dibawa oleh pembangkang,”tegasnya.

0 comments:

Post a Comment