Monday 30 October 2017

Kempen Biro IT Dan Media Sosial UMNO Bukan Sebarkan Fitnah – Ahmad


PASIR SALAK – Kempen media sosial oleh Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO bukan bertujuan menyebarkan fitnah sebaliknya menyebarkan maklumat tepat dan berfakta kepada rakyat, kata Pengerusinya Datuk Ahmad Maslan.

Bagi meraih keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau berkata jawatankuasa itu menggunakan pelbagai pendekatan termasuk kempen media sosial dengan menampilkan video pendek, infografik, keratan akhbar, karikatur serta poster tentang UMNO.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan sedang diperluaskan sehingga ke peringkat cawangan bagi memperkuat jentera siber UMNO dalam menangkis serangan fitnah pembangkang.

“Sebelum ini, kita menubuhkan Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat dan Media Sosial UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara dengan setiap bahagian mempunyai 40 anggota. Dalam masa berbaki (sebelum PRU14) ini, saya harap biro jentera ini giat menggandakan usaha untuk memperluaskannya,” katannya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat IT dan Dialog Khas PRU14 UMNO Bahagian Pasir Salak di Chenderong Balai dekat sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata Konvensyen Media Sosial Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 4 Nov ini dan dijangka dirasmikan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Konvensyen itu akan menghimpunkan lebih 2,000 anggota jentera IT UMNO di setiap bahagian bagi persediaan menghadapi PRU14.

0 comments:

Post a Comment