PERMATANG PAUH – Mana Ahli Parlimen Permatang Pauh di saat rakyat memerlukan… itulah persoalan yang dilemparkan oleh penduduk di sini apabila kelibat Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR tidak kunjung tiba membela nasib rakyat.
Hasil tinjauan mendapati rata-rata penduduk Permatang Pauh menolak kepimpinan PKR kerana mereka merasakan seakan ditipu apabila amanah yang diserahkan disia-siakan.
Bagi mereka, Dr. Wan Azizah hanya lantang mempertahankan nasib suaminya yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sayangnya nasib pengundi yang selama ini memberi kepercayaan dan undi kepada mereka bagi menyuarakan permasalahan penduduk dihancurkan.
Noraini Hashim, 56, berkata, Dr. Wan Azizah hanya turun secara bermusim di Permatang Pauh dan hanya UMNO yang sentiasa ke hadapan mendepani masalah rakyat.
“Semakin ramai penduduk di sini sudah semakin boleh menerima UMNO berbanding dahulu. Walaupun Permatang Pauh adalah kubu kuat pembangkang tetapi kini ramai yang sudah membuka mata siapa yang lebih banyak memperjuangkan nasib rakyat.
“UMNO sentiasa membantu tanpa mengira latar belakang politik. Itulah kelebihan UMNO di Permatang Pauh,” ujarnya.
Bagi Mohd Noor Hanapiah, 49, pula, bukan Ahli Parlimen sahaja yang tidak membela nasib rakyat tetapi kerajaan negeri yang ditunjangi oleh Dap juga seakan tidak mempedulikan masalah masyarakat di sini dan hanya UMNO serta kerajaan Persekutuan yang banyak membantu.
“Sebagai contoh, jika Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) meminta bantuan kerajaan negeri ia tidak akan dilayan. Oleh itu JKKKP terpaksa menggunakan nama individu untuk memohon sebarang bantuan.
“Sikap pilih bulu kerajaan negeri ini jelas membuatkan rakyat hidup sengsara, amat sukar untuk memohon bantuan dan ini terlalu berbeza dengan pentadbiran kerajaan BN dahulu sebelum Dap ambil alih,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang ditemui Mohd Halid Othman, 67, menjelaskan, ketika dilanda banjir juga Dr. Wan Azizah tidak nampak muka dan ini amat mengecewakan penduduk Permatang Pauh.
“Selama ini kami memberikan sokongan kepada mereka tetapi apa balasan yang kami terima… apabila kami susah UMNO lah yang datang menghulurkan bantuan,” jelasnya pula.
Untuk rekod, jumlah penduduk di Permatang Pauh ialah 127,947 masing-masing; (Melayu-85,878 orang), (Cina-32,076 orang), (India-9391 orang) dan lain-lain sebanyak 602 orang.
Permatang Pauh mempunyai tiga DUN iaitu N.12 (Penanti) meliputi Guar Perahu, Kuala Mengkuang, Penanti, Kubang Ulu, Sungai Semambu, Tanah Liat MK.9, Telok Wang, Mengkuang, Sungai Lembu dan Berapit Road.
Sementara di N.11 (Permatang Pasir) pula meliputi kawasan Permatang Ara, Sama Gagah, Permatang Tengah, Permatang Pauh, Kampung Pelet, Bukit Indera Muda, Kubang Semang, Tanah Liat MK 8 dan Kampung Cross Street 2, manakala di N.10 (Seberang Jaya) terdapat sembilan kawasan iaitu Jalan Semilang, Seberang Jaya II, Jalan Tuna, Seberang Jaya I, Taman Tun Hussein Onn, Jalan Bahru, Kampung Pertama, Kampung Belah Dua dan Simpang Ampat.
0 comments:
Post a Comment