Monday 16 October 2017

Masjid Berfungsi Bantu Golongan Memerlukan


Tasek Gelugor - Institusi terutama masjid perlu memainkan peranan untuk menyalurkan bantuan awal kepada kepada mereka yang memerlukan dalam kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, terdapat banyak masalah sosial seperti kemiskinan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

"Walaupun ada banyak pihak membantu seperti pusat khidmat dan wakil rakyat terutama dari BN, namun bantuan ini kadangkala sedikit lambat dan agak terhad.

"Kebiasaannya kita lihat institusi masjid yang mempunyai tabung hasil sumbangan orang ramai, setiap minggu pada hari Jumaat atau tabung-tabung wakaf yang diwujudkan.Sebab itu kita harap pihak jawatankuasa, pengerusi dan pegawai masjid memainkan peranan untuk membantu dalam pelbagai aspek," katanya.

Katanya, setiap kali lawatan dijalankan di setiap kawasan, pastinya ada pelbagai kes yang ditemui.

"Kes ini meliputi aspek penjagaan kesihatan, pendidikan, kemiskinan dan sebagainya.Bila kita buat lawatan di setiap kawasan atau kariah masjid, mesti ada orang sakit, perlu bantuan dari segi kos perubatan, perlukan bantuan untuk anak sekolah, orang miskin.

"Kalaulah pihak masjid mempunyai perancangan untuk membantu secara berskala, saya rasa ini akan mengubati masalah sosial dihadapi diperingkat kawasan sementara datangnya bantuan lain daripada pusat khidmat ahli parlimen atau wakil rakyat ataupun JKM dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, biarpun soal ini disebutkan beberapa kali, tapi apa yang dilihat tak banyak masjid yang mengambil tindakan sedemikian.

"Bukan tak ada, tak banyak masjid yang mempunyai satu kita katakan senarai, berapa orang yang sakit pada satu-satu masa, kadang mereka mungkin tak ada senarai berapa orang yang mana miskin perlukan bantuan, kemudian tak ada juga data atau maklumat tentang pelajar susah, yang perlu kepada bantuan yuran pengajian dan sebagainya.

"Jadi kalau masjid tak ada maklumat macam ini, mereka tak tahu bagaimana nak salurkan bantuan, mereka rasa seolah-olah semuanya berjalan dengan baik, tapi sebenarnya tidak," katanya.

Katanya, institusi masjid terutamanya dalam masyarakat beragama Islam mesti patut memainkan peranan.

'Institusi masjid perlu menggunakan sumbangan orang ramai untuk kebaikan orang ramai iaitu masyarakat itu sendiri.

"Sumbangan sebegini tak salah, malah dalam masyarakat itu ada orang bukan Islam ada orang India susah yang sakit tak ada masalah kalau kita berikan bantuan daripada sumbangan orang ramai, sama ada yang datang dari masjid atau badan lain seperti Rukun Tetangga dan sebagainya," katanya.

0 comments:

Post a Comment