Wednesday, 18 October 2017

Masyarakat Bugis Desak Mahathir Mohon Maaf Sifatkan Mereka Lanun


PUTRAJAYA, 18 Okt – Masyarakat Bugis di Malaysia hari ini mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Bugis sebagai lanun.

Desakan itu dibuat melalui Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) yang berhimpun secara aman di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini sebagai membantah kenyataan bersifat perkauman tersebut.

Timbalan Presiden PPRBMM Tasman Matto yang mengetuai himpunan lebih 200 anggota pertubuhan itu berkata kenyataan Dr Mahathir tidak boleh diterima sama sekali, apatah lagi isu seumpama itu tidak pernah dibangkitkannya ketika mengetuai kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata sebagai individu yang dikatakan seorang negarawan dan kini mengetuai gabungan parti politik pembangkang, Dr Mahathir tidak harus mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati kaum Bugis serta mana-mana kaum.

“Laporan polis di seluruh negara akan dibuat jika Dr Mahathir enggan menarik balik dan memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuat yang ternyata telah melukakan hati kaum Bugis yang telah bertapak sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

“Kenyataan berbaur perkauman ini amat pedih untuk diterima dan kami akan pastikan seluruh masyarakat Bugis tidak menyokong Dr Mahathir dan partinya apabila sampai masanya kelak,” katanya kepada pemberita selepas berhimpun kira-kira setengah jam.

Himpunan aman itu diadakan susulan ucapan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan semasa Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Sabtu lepas yang menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis. 

0 comments:

Post a Comment