PERMATANG PAUH, 11 Okt – Ketua UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Parlimen Permatang Pauh adalah bukti kukuh yang menunjukkan bahawa sebenarnya pakatan pembangkang hanya mahu kuasa tetapi tidak akan mempedulikan nasib rakyat.
Jelas beliau, Permatang Pauh yang diterajui oleh PKR terbiar dan tiada sebarang perubahan dari segi pembangunan apatah lagi untuk membela nasib rakyat sehinggalah tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh mereka diambil alih oleh UMNO.
“Sejak penghujung 2013, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh telah memulakan transformasi dan hasilnya jelas dapat dilihat masyarakat mula sedar bahawa UMNO adalah tempat terbaik untuk mereka berpaut menuju ke arah perubahan dan kemajuan.
“Walaupun PKR diberi amanah sejak 1999 hingga kini tetapi sayangnya mereka langsung tidak menunjukkan apakah agenda dan matlamat mereka untuk penduduk di sini melainkan agenda peribadi.
“Jadi, disebabkan itu UMNO Permatang Pauh mengambil langkah mendekati rakyat secara lebih spesifik dengan menumpukan kepada perkara-perkara yang menjadi keperluan penduduk di sini,” ujarnya.
Ujar Zaidi, fokus utama UMNO Permatang Pauh adalah meningkatkan kualiti dalam bidang pendidikan dan juga kesedaran tentang pendidikan agama.
“Dua fokus ini ditambah dengan pendekatan yang menitikberatkan soal ekonomi dan golongan muda telah berjaya memikat hati penduduk Permatang Pauh untuk memberikan sokongan kepada UMNO.
“Perubahan yang dilakukan ini telah membuka mata segenap pihak bahawa UMNO sentiasa mendepani masalah rakyat walaupun UMNO kalah di sini. Kita terus membantu tanpa ada pilih kasih.
“Ini kerana UMNO mempunyai hala tuju yang begitu serius untuk membawa masyarakat Permatang Pauh ke arah yang jauh lebih baik,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap agar masyarakat setempat dapat menilai dan melihat dengan jelas apa yang telah UMNO lakukan untuk rakyat kerana usaha UMNO dalam membantu rakyat bukanlah retorik politik.
0 comments:
Post a Comment