Thursday 5 October 2017

Pemergian Allahyarhamah Datuk Maznah Satu Kehilangan Srikandi Negara – Shahrizat


KUALA KUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga atas pemergian Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid, Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun, Kedah.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Jalil berkata, kehilangan Allahyarhamah amat dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutama kami Wanita UMNO kerana keberanian, semangat setiakawan dan aura positif yang sentiasa dibawa dalam dirinya.

“Beliau bukan sahaja seorang srikandi tetapi juga seorang pemimpin yang amat dihormati dan disayangi. Negara kehilangan seorang srikandi yang cekal dan gigih dalam membuktikan bahawa wanita mampu berjaya dalam pelbagai bidang di pentas dunia.”

Jelasnya, pemergian Allahyarhamah Datuk Maznah meninggalkan kekosongan yang cukup mendalam di jiwa seluruh ahli Wanita UMNO.

“Insya-Allah, kami Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melalui Skuad An-Nur akan mengadakan Majlis Tahlil dan bacaan Yasin di semua 191 Parlimen untuk Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid.

“Doa kami mengiringi Allahyarhamah semoga rohnya ditempatkan di jannah bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan media.

Allahyarhamah Datuk Maznah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini  pada 6 petang tadi setelah mengalami komplikasi susulan pembedahan jantung pada 28 Sept lepas.

0 comments:

Post a Comment