Wednesday 25 October 2017

Pemuda Desak Kerajaan DAP Dedah Laporan Mesyuarat OSC MBPP Untuk Projek Lembah Permai , Tanjung Bungah


Kenyataan Media Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang hari ini sekali lagi tampil mengulangi desakan agar Ketua Menteri Pulau Pinang segera meletakkan jawatannya berikutan kes kejadian tanah runtuh yang telah mengorbankan 11 nyawa selain daripada terlalu banyak kepincangan pentadbiran kerajaan negeri dan tuduhan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Setelah banyak pihak tampil menegur perancangan kerajaan negeri yang membenarkan pembangunan di kawasan Lembah Permai, Tanjung Bungah serta sikap tidak ambil peduli terhadap penolakan Jabatan Alam Sekitar (JAS), akhirnya alam bersuara seterusnya menelanjangkan kesongsangan pentadbiran kerajaan negeri yang dilihat angkuh dan rakus.

Malahan sikap kerajaan negeri yang masih lagi cuba untuk menutup kesalahan dengan menjadikan 20 agensi sebagai kambing hitam benar-benar mengecewakan seluruh warga Pulau Pinang.

Atas dasar itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang hari ini mendesak supaya kerajaan negeri dalam tempoh 3 hari untuk mendedahkan laporan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kepada rakyat bagi membuktikan dakwaan kerajaan negeri bahawa projek pembangunan di Lembah Permai, Tanjung Bungah itu mendapat persetujuan agensi-agensi terbabit.

Kerajaan negeri perlu mendedahkan minit Mesyuarat Jawatankuasa OSC pada 18 Februari 2015 seperti mana yang didakwa oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow baru-baru ini.

Bagi menjelaskan lagi dakwaan kerajaan negeri terhadap sokongan daripada 20 agensi itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang mendesak agar laporan yang dikemukakan oleh agensi-agensi terbabit didedahkan kerana kita mahu tahu agensi manakah yang terlibat dan kenapa persetujuan tersebut diberikan serta atas dasar apa dan kenapa ianya dipersetujui ?

Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataannya mendakwa tragedi di Lembah Permai, Tanjung Bungah yang menimbus hidup-hidup 11 nyawa sebagai kemalangan di tempat kerja namun Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang melihat ia bukan sekadar kemalangan di tempat kerja tetapi bencana yang berlaku disebabkan oleh keputusan tidak profesional kerajaan negeri Pulau Pinang.

Oleh yang demikian sekali lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang mendesak dalam tempoh 3 hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mendedahkan minit Mesyuarat Jawatankuasa OSC pada 18 Februari 2015.

Kegagalan kerajaan negeri berbuat demikian bermaksud bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi telah membohongi rakyat.

Sekian Terima Kasih

Rafizal Abd Rahim
24 Oktober  2017

0 comments:

Post a Comment