PERMATANG PAUH, 23 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pemukiman jentera BN yang diadakan baru-baru ini adalah isyarat jelas bahawa BN telah memasuki ke medan tempur dan kini hanya menanti masa untuk semboyan dibunyikan.
Oleh itu jelas beliau, semua ahli khususnya pemimpin tidak boleh lagi bersikap leka kerana kelalaian yang kecilpun boleh menyebabkan bencana yang cukup besar.
“Bagi memastikan BN lebih diterima rakyat maka semua pemimpin harus lebih menonjolkan diri sebagai pemimpin kepada semua orang tanpa mengira fahaman politik. Pemimpin yang hanya cenderung kepada ahli parti sudah tidak boleh diamalkan lagi kerana bukan semua rakyat di kawasan adalah ahli UMNO ataupun menyertai mana-mana parti politik.
“Semua pemimpin harus sedar, masyarakat di bahagian tidak semuanya ada menyertai parti politik. Mereka ini mendiamkan diri dan hanya memerhati tetapi mereka adalah pengundi.
“Sekiranya kita hanya menjadi pemimpin kepada ahli parti maka BN akan ketinggalan dan golongan yang dipanggil atas pagar ini tidak akan mengundi kita bila tiba harinya nanti,” ujarnya.
Tambah Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh yang mesra dengan panggilan Cikgu Zaidi itu lagi, apa yang lebih penting adalah amanat yang telah disampaikan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diterjemahkan oleh seluruh jentera kepada rakyat selain memperkukuhkan semangat serta solidariti sepasukan.
“Pilihan raya umum sudah semakin hampir maka kita tidak boleh terleka walau sedetikpun. Kita mahu pastikan pilihan raya kali ini bukan sahaja kita mampu menang tetapi mampu mencapai keputusan yang jauh lebih baik.
“Kemenangan ini bukan untuk parti sahaja tetapi kemenangan ini adalah demi masa hadapan rakyat, negara dan anak cucu cicit kita yang bakal mewarisi negara ini kelak,” terangnya.
0 comments:
Post a Comment